Saturday, July 13, 2013
AS GESA MURSI DIBEBASKAN
Seorang penyokong wanita memegang gambar Presiden yang disingkirkan, Mohammed Mursi, semasa satu bantahan di Kaherah, Mesir, kelmarin. - REUTERS
KAHERAH 13 Julai - Amerika Syarikat (AS) semalam menggesa tentera Mesir supaya membebaskan Presiden yang disingkirkan, Mohammed Mursi ketika puluhan ribu penyokongnya berikrar untuk terus berjuang bagi mengembalikan kuasa bekas Presiden itu.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki berkata, AS bersetuju dengan rayuan awal Jerman bagi pembebasan Mursi yang turut dibuat secara terbuka.
Presiden yang digulingkan itu ditahan di sebuah 'tempat selamat' menurut pimpinan sementara Mesir dan tidak kelihatan di khalayak umum sejak beliau disingkirkan pihak tentera pada 3 Julai lalu.
Psaki berkata, Washington mahu tentera menamatkan 'sekatan ke atas Mursi', sementara Jerman mencadangkan sebuah institusi yang dipercayai seperti Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah diberi peluang bertemu beliau.
Sementara itu, Presiden AS, Barack Obama semalam dilapor menghubungi Raja Abdullah di Arab Saudi bagi membincangkan krisis di Mesir.
Satu kenyataan dikeluarkan White House memberitahu, Obama dan Raja Abdullah saling menyatakan sokongan mahukan kestabilan di Mesir.
Menurut kenyataan tersebut Presiden AS itu bimbang dengan keganasan yang berlaku di Mesir berikutan rampasan kuasa oleh tentera.
Beliau turut menekankan kepentingan pembentukan kerajaan menerusi saluran demokrasi yang dipilih rakyat. Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri baharu Mesir, Hazem al-Beblawi semakin hampir membentuk Kabinet baharu, biarpun penyokong Mursi berikrar untuk membela nasib bekas Presiden yang digulingkan itu.
Hazem yang dilantik memegang jawatan itu pada Selasa lalu, bakal mengadakan perbincangan dengan calon-calon menteri hari ini dan esok.
Selain itu, pergerakan Ikhwanul Muslimin memberi amaran bahawa mereka bakal mengadakan satu lagi tunjuk perasaan secara besar-besaran pada Isnin ini.
Bagaimanapun, pergerakan itu menjanjikan bahawa demonstrasi tersebut akan berlangsung secara aman. - AFP(UTUSAN ONLINE-LUAR NEGARA).POSTED BY ABNMULYA / BAKAR NINGGAL.BLOGSPOT.COM., AT 6.18 AM ON JULY 1,2013.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment