Thursday, July 11, 2013

Baiah undang pelbagai p[ersepsi

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my 
Datuk Hasan Ali,Presiden JATI
KUALA LUMPUR 11 Julai - Tindakan calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azlan @ Endot Yusof berbaiah (bersumpah) di hadapan umum dalam majlis pengumuman oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikhuatiri mengundang pelbagai persepsi masyarakat.

Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, ini kerana baiah perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan dan kejujuran di antara individu yang melafazkan sumpah berkenaan dengan Allah.

"Saya tiada masalah Azlan berbaiah di hadapan hadirin yang merupakan makhluk Allah juga. Tetapi ia dikhuatiri mengundang pelbagai persepsi kerana dalam baiah, perkara yang paling utama ialah di antara orang bersumpah dengan Allah sementara makhluk lain sekadar saksi.

"Bagi saya kalau sumpah begitu dibuat di hadapan umum dan di gelanggang politik, ia ditakuti dipengaruhi oleh politik dan bukan syariat.

 "Oleh itu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mesti sanggup menerima bacaan orang ramai yang sesetengahnya bersetuju sementara ada juga ada pihak yang akan mempertikai dan memperlekeh baiah tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hasan yang juga bekas Naib Presiden Pas diminta mengulas tindakan Pas yang bertindak di luar kelaziman apabila meminta calonnya melakukan baiah secara terbuka dalam majlis ceramah dan pengumuman calon Kuala Besut malam tadi sempena PRK 24 Julai ini.

Malah, Abdul Hadi sendiri yang memimpin baiah Azlan malam tadi turut mengakui sebelum ini calon Pas hanya berbaiah dengan membaca ikrar di hadapan wakil Majlis Syura Ulama.

Hasan menambah, hanya Allah yang berhak melaknat Azlan sekiranya mengingkari sumpah berkenaan sementara kesemua hadirin lain yang menyaksikan sumpah berkenaan tidak boleh melaknatnya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir mendedahkan ada dalam kalangan pemimpin dan ahli Pas melakukan baiah sehingga sanggup menceraikan isteri dengan talak tiga jika meninggalkan parti itu dan mendakwa baiah itu turut menjadi kekangan dalam kalangan pemimpin bawahan Pas untuk menyertai UMNO meskipun mereka berminat berbuat demikian.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya a/ Bakar Ninggal.blogspot.com. at 1455 hrs on July 12,2013.

No comments: