Saturday, July 20, 2013
Fouziah & isi logika kata
Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY athirah.dzulkifly@utusan.com.my Foto SYEFRY MONIZ Solekan Deq Sha (019-3495383) Busana/Lokasi Bianco Mimosa Boutique, Bangsar (03-22019022)
WANITA ini sedang bahagia. Daripada lirik mata, senyuman, tawa - setiap inci jelas lahir daripada hatinya yang sarat terisi dengan kasih sayang yang menggunung.
Maklumlah, sudah menjadi tunangan orang. Kalau pun dia bukan seorang selebriti atau pelakon, Fouziah Gous juga sama seperti wanita-wanita lain yang bahagia menunggu masa yang tepat untuk disatukan dengan si pencuri hatinya.
Sebulan bergelar tunangan kepada ahli perniagaan Md Zhafran Md Yusof, 30, Fouziah mengaku dia masih lagi dalam proses mengenali buah hatinya itu.
Tiga bulan berkenalan dan kemudian terus mengikat tali pertunangan, Fouziah dan Zhafran nyata tidak mahu melengah-lengahkan masa ada untuk fokus pada komitmen lebih serius.
Bagaimanapun, adat menjadi artis dan selebriti di Malaysia, berkongsi berita gembira dengan masyarakat juga boleh menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang.
Entah kenapa, ada pula yang mempersoalkan mengapa mereka tidak terus berkahwin sahaja? Jangan salah faham. Bukan soal usia yang menjadi isunya. Angka 30 yang disandang masing-masing itu sudah cukup sesuai untuk diterima oleh kebanyakan orang zaman ini jika mahu mendirikan rumahtangga.
Apa yang menjadi isu ialah apabila Fouziah dikatakan sering menunjuk-nunjuk kebahagiaannya sekarang. Sasaran serangan adalah menerusi laman sosial popular Instagram milik Fouziah.
Nampaknya ada yang kurang senang dengan tindakan Fouziah sering memuat naik gambar-gambarnya dengan Zhafran.
Dalam bulan puasa begini, gambar pergi bertarawih bersamapun boleh menjadi isu. Fouziah secara peribadi apabila diajukan pertanyaan mengenai cakap-cakap dan kritikan orang nyata kesal dengan sikap golongan pembenci yang tak pernah senang dengan kebahagiaan orang lain.
"Saya memang dah tahu mengenai isu ini. Orang cakap kenapa tak kahwin saja terus? Semuanya sebab mereka tengok gambar-gambar dalam Instagram saya.
"Kenapa ya mereka timbulkan isu ini? Saya cuma menjalani kehidupan normal saya saja. Sama seperti orang lain.
"Kalau dah bertunang kena lekas-lekas kahwin? Bukankah pertunangan itu adalah proses mengenali. Kenapa orang lain nak gesa kahwin cepat-cepat pula?
"Bagi saya mudah. Ini semua soalan cepu emas saja. Biasalah, bila dah bertunang, orang suruh cepat kahwin. Bila dah kahwin, orang tanya bila nak dapat anak pula. Normallah tu.
"Rasanya bukan saya seorang sahaja yang terkena. Banyak artis lain juga pernah lalui. Orang biasa juga lalui benda yang sama," katanya.
Cakap biar logikTahu bahawa dirinya menjadi sasaran mereka yang gemar mencari kesalahan, kata pelakon drama Rindu Bertamu Di Abu Dhabi ini dia kecewa kerana ada pihak yang bercakap seperti tidak menggunakan logik akal.
Bukan mahu melontar rasa amarah namun kata Fouziah, dia hairan bagaimana status barunya kini menjadi isu besar untuk orang bercakap buruk mengenainya.
"Mereka pandai menyuruh saya kahwin terus. Tapi ada tak mereka fikir yang kahwin itu bukan satu perkara senang? Perlu ada persediaan dan persiapannya juga tak mudah. Ambil masa dan sebagainya.
"Sebagai orang dewasa, kita tahu perkahwinan ini bukan satu perkara main-main.
"Kadang-kadang saya hairan ada manusia yang tak boleh fikir dengan logik. Sebab itu saya malas nak layan orang macam ini.
"Saya anggap mereka ini orang 'istimewa' sebab punya fikiran macam itu. Mereka tak fikir panjang dan main cakap saja. Orang yang berfikir dengan rasional, dia tak akan tanya atau cakap benda-benda macam itu," ujarnya.( Utusan online-Hiburan).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com., at 5.55 am on July 20, 2013.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment