KUALA LUMPUR 19 Julai - Pasangan kontroversi, Alvin Tan dan Vivian Lee hari ini memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen tidak membenarkan mereka diikat jamin selepas mereka berdepan tiga pertuduhan mempersenda umat Islam dan Ramadan serta mempamerkan gambar lucah.
Peguam yang mewakili mereka, Chong Joo Tian memberitahu pemberita, beliau memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah di sini pada 3.50 petang hari ini.
Semalam, Hakim Mahkamah Sesyen Murtazadi Amran tidak membenarkan Alvin Tan atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee atau Lee May Ling, 24, diikat jamin sementara menunggu perbicaraan, atas sebab kepentingan awam.
Tan kini ditahan di Penjara Sungai Buloh manakala Lee di Penjara Kajang.
Mereka didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook Alvin and Vivian - Alvivi di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yang bertajuk "Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!" yang mengandungi logo Halal.
Bagi pertuduhan kedua, Tan dan Lee didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama, antara 6 Julai dan 7 Julai lepas, antara 9 malam hingga 2 pagi.
Pasangan itu juga didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang sama, berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama di kalangan penganut agama berlainan.
Semalam, Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin memohon supaya kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin kerana pertuduhan dihadapi mereka mengikut Seksyen 298A (1) (a) Kanun Keseksaan dan Akta Penapisan Filem, adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Chong memohon anak guamnya dibebaskan dengan ikat jamin atas alasan pertuduhan masih belum dibuktikan dan bersifat pramatang. - BERNAMA( Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 1750 hrs on July 19,2013.
No comments:
Post a Comment