Wednesday, July 17, 2013

Ini jaminan PM mengenai Akta Kerharmonian Nasional yang akan ganti Akta Hasutan

Agenda Daily 
RABU, 17 JULAI 2013 17:00

Datuk Seri Najib Tun Razak
Akta Keselamatan Dalam Negeri sudah tiada ada dan tidak lama lagi Akta Hasutan 1948 pula.Ramai pihak yang bimbang bagaimana nanti kerajaan hendak mengawal pelbagai tindak tanduk mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.

Terbaru adalah kes pasangan porno Alvin Tan dan Vivian Lee yang bikin ramai geram kerana hina kesucian agama pada bulan Ramadhan. Bagaimana jika ada nanti yang persoal hak keistimewaan Melayu dan macam-macam lain.

Jawab soalan mengenainya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya Rabu,Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beri jaminan Akta Keharmonian Nasional yang akan ganti Akta Hasutan 1948, tidak akan menjejaskan kuasa kerajaan dalam menangani perbuatan berkenaan.

Beliau berkata walaupun kerajaan ingin menjamin kebebasan bersuara setiap warganegaranya, ia tidak boleh disalah guna sehingga menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.

"Tindakan biadap dan kurang ajar pasangan muda yang menghina agama Islam (baru-baru ini) menunjukkan kebebasan bersuara dan pendapat yang tidak bertanggunjawab, boleh memudaratkan masyarakat," katanya 

Pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee dikecam ramai kerana mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan apabila memuat naik gambar mereka menikmati bak kut teh (sup tulang babi) berserta kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Perdana menteri berkata kerajaan akan memastikan bahawa peruntukan akta baharu itu akan mengekalkan tiga prinsip utama dalam menangani perbuatan yang mendatangkan kebencian dan penghinaan kepada institusi-institusi dan peruntukan perlembagaan sedia ada.

Katanya prinsip pertama merujuk kepada soal menangani perbuatan dan perlakuan yang mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perbuatan yang tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja.

"Kedua, bagi menangani perbuatan dan perlakuan yang mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan dalam negara," katanya.

Najib berkata prinsip ketiga pula merujuk kepada soal menangani perbuatan dan perlakuan yang mempersoal apa-apa perkara mengenai hak taraf kedudukan keistimewaan kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan bahagian tiga Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 153, 151 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.

Ketiga-tiga perkara itu antaranya menyentuh kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, sekatan ke atas tahanan pencegahan dan kedaulatan Raja-Raja.

Beliau berkata pada pandangannya negara perlu menentukan prinsip-prinsip yang dapat menjaga kepentingan negara termasuk soal keharmonian hubungan antara kaum dan juga dari segi kedudukan agama.
"Ini bukan soal agama Islam sahaja tapi juga melibatkan semua kaum, sensiviti semua kaum dan agama. Kita akan berlaku adil, tapi prinsipnya kita tidak boleh menghina agama, tak boleh bakar perasaan membenci antara kaum.

"Sekiranya perkara ini tidak diambil tindakan tegas, ia boleh merosakkan 'tiang seri negara' kita yakni perpaduan nasional dan keharmonian negara. Kita mesti bertegas dalam hal ini. Saya selalu tegaskan bahawa prinsipnya ialah prinsip kebebasan tapi dilengkapi dengan prinsip kebertanggungjawaban," tambahnya. 

"Kebebasan dengan tanggungjawab, tidak boleh ada kebebasan mutlak sehingga mengorbankan kepentingan negara dan keharmonian nasional. Inilah pendirian jelas kerajaan, (yang) kita akan pegang," katanya. 

Mengenai Ordinan Darurat pula ,Perdana Menteri berkata, kerajaan akan membincangkan pandangan pelbagai pihak bahawa perlunya rang undang-undang baru bagi menyamai ordinan berkenaan bagi memastikan usaha memerangi terus berrkesan.

Kata Najib kerajaan akan dapatkan pandangan pihak polis dan Jabatan Peguam Negara selain pihak berkepentingan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) serta Majlis Peguam Malaysia.

"Ini kerana ada pihak yang mahu penahanan pencegahan (preventive detention) dibenarkan dan ada yang tidak bersetuju," katanya.

Perdana Menteri berkata, apa yang penting ialah sebarang perundangan mesti ada keseimbangan melindungi hak individu dan menjaga kepentingan masyarakat selain memastikan tidak berlaku salah guna kuasa oleh mana-mana pihak.

 "Mesti ada keseimbangan antara melindungi hak individu dan kepentingan masyarakat selain memastikan tidak akan berlaku salah guna kuasa oleh mana-mana pihak di samping mengekalkan keberkesanan usaha memerangi jenayah," katanya. -17/7/2013(Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.,at 3.00 am on July 18,2013.

No comments: