Friday, July 26, 2013

'Karpal bukan pejuang rakyat'

Oleh KASTHURI JEEVENDRAN 
pengarang@utusan.com.my 

Tan Tuan Tat (kiri) bersama bekas Bendahari DAP Balakong, Yap Kon Ming berbincang selepas selesai sidang akhbar berhubung sikap sebenar Karpal Singh di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 26 Julai - Pengerusi DAP, Karpal Singh dibidas kerana 'menutup mata dan telinga' dalam semua dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam partinya walaupun sering menonjolkan diri sebagai pejuang rakyat.

Justeru, Karpal dicabar untuk bersikap lebih telus dan mengotakan slogan retoriknya dengan tampil menjawab setiap dakwaan beserta bukti kukuh. Bekas Ketua Cawangan DAP, Taman Sri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat mendakwa, Karpal seolah-olah bersikap pilih bulu dengan 'membela' penyelewengan serta dakwaan penipuan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada Disember lepas tanpa siasatan rapi.
"Baru-baru ini Karpal tampil membuat dakwaan bahawa buku hasil karangan Father Agustus Chen itu sebenarnya satu penipuan yang boleh menjatuhkan DAP. Apa bukti beliau berkata demikian?

"Bagaimana pula dengan dakwaan seramai 547 perwakilan haram telah hadir mengundi pada CEC lepas? Kita tidak harus lupa, Karpal pernah mengakui kesilapan pengiraan undi itu sebenarnya perkara paling memalukan parti. Mengapa tiada apa-apa tindakan daripada parti atau Karpal selepas itu?," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar berhubung perkara itu di sini hari ini. Menurut Tuan Tat, Karpal hanya pandai bercakap bahawa parti dan dirinya memperjuangkan agenda rakyat namun jika dilihat dengan mata kasar, ia seolah-olah bersifat peribadi. 

"Mengapa Karpal tidak berbuat apa-apa dengan dakwaan ahli DAP sendiri mungkin terdapat unsur penyelewengan dalam pemilihan parti? Microsoft Excel dipersalahkan kerana terdapat salah kira undi, mengapa tidak pernah ada sebarang penjelasan?

"Bagaimana pula dengan dakwaan terdapat 753 ahli sah yang layak mengundi telah dinafikan hak mengundi pada hari tersebut? Adakah Karpal pernah membuat sebarang penyiasatan berhubung dakwaan itu? Juga adakah beliau benar-benar mendapat undi ketiga terbanyak dalam pemilihan itu," soalnya.

Jelasnya, DAP begitu teruja memainkan isu penipuan undi Pilihan Raya Umum (PRU) lepas seperti isu terdapat 40,000 pengundi warga Bangladesh dan blackout tetapi penipuan dalam pemilihan parti 'disenyapkan' begitu sahaja.

"Isu Red Bean Army juga langsung tidak disentuh oleh Karpal. Juga pemecatan ahli DAP demi kepentingan segelintir berkepentingan seperti membabitkan Jenice Lee dan A. Ashogan? Namun mereka sungguh lantang dalam menuding jari mendakwa UMNO dan Barisan Nasional (BN) kononnya punca penyelewengan itu terjadi. Jika mereka tuding jari dan persoal tidak apa, jika UMNO BN persoal, maka mereka salah. 

"Mengapa perlu bersikap dwistandard? Jika begitu, janganlah bermegah dengan slogan hebat seperti anda bersikap adil dan bersih. Bersihkan dulu kekotoran dalam parti anda sebelum bercakap tentang orang lain," katanya.

Dalam pada itu, Tuan Tat juga mencabar Karpal untuk segera tampil jika beliau benar-benar mempunyai integriti tinggi dan bermaruah supaya segera menyelesaikan setiap dakwaan yang telah dibuat ahli DAP sendiri.

"Karpal juga harus 'berani' berdepan dengan anak beranak Dinasti Lim iaitu Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng supaya segera mengadakan pemilihan semula CEC daripada terus menyalahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS)," cabarnya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 5.57 am on July 27,2013.

No comments: