Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi |
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, KDN bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat pemantauan lebih ketat ke atas semua NGO dan individu yang terlibat dan tidak teragak-agak untuk menggunakan undang-undang yang sedia ada.
Katanya, amaran tegas itu tidak melibatkan mereka yang cuba memperlekehkan agama Islam sahaja malah semua agama yang diamalkan secara harmoni di negara ini.
"Mana-mana agama yang cuba disentuh dengan sentimen perkauman adalah perkara yang sensitif yang boleh merosakkan keharmonian negara.
"KDN menerusi PDRM serta beberapa agensi lain akan memantau situasi ini dengan lebih berkesan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang berniat merosakkan hubungan antara kaum di negara ini," katanya dalam sidang akhbar selepas berbuka puasa bersama lebih 300 anggota dan pegawai polis di Masjid Bukit Aman malam ini.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abd. Rahim Mohd. Radzi; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Akta Hasutan 1948 yang bakal diganti dengan akta baharu tidak lama lagi masih berkuat kuasa dan boleh digunakan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang berniat untuk melakukan tindakan seumpama itu.
"Selagi belum diganti, Akta Hasutan masih berkuasa dan PDRM boleh mengambil tindakan meskipun dengan laporan polis atau tidak mahu pun menerusi siasatan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia)," katanya.
Tambah beliau, undang-undang baharu, Akta Keharmonian Nasional yang akan digunakan nanti tetap mempunyai roh serta semangat yang telah wujud dalam Akta Hasutan selama ini.
"Kita mengalu-alukan apa yang Perdana Menteri katakan dengan kewujudan Akta Keharmonian Nasional tetapi harus diingat roh, semangat serta perkara yang tersirat pada Akta Hasutan tetap akan ada dalam undang-undang baharu ini," katanya.
Ditanya tentang NGO yang dikesan KDN cuba melakukan provokasi perkauman, Ahmad Zahid memberitahu, setakat ini KDN masih belum mengenal pasti lagi tetapi pihaknya akan mengambil tindakan segera akan diambil jika NGO itu dikesan.
Tambahnya, beliau sendiri telah melakukan perbincangan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia tentang isu berkaitan gejala tidak sihat yang tersebar dalam media-media sosial.
"Setakat ini saya yakin dengan kemampuan SKMM dan jika ada bukti yang kukuh tentang sesuatu isu perkauman atau provokasi dilakukan di media sosial, tindakan perundangan akan dikenakan. Ketua Polis Negara sendiri akan lakukan tindakan tanpa perlu menunggu," tegasnya.
Terdahulu dalam majlis itu, Ahmad Zahid turut mengimamkan solat maghrib sebelum menikmati jamuan berbuka puasa di Masjid Bukit Aman.( Utrusan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 5.58 am on July 20,2013.
No comments:
Post a Comment