Sunday, July 14, 2013

Pemimpin Cina kutuk,sifatkan Alvin,Vivian pasangan biadab

KUALA LUMPUR 14 Julai - Tindakan pasangan kontroversi, Tan Jye Yee dan Vivian Lee mempersenda agama Islam dan bulan Ramadan dalam Facebook baru-baru ini tidak boleh diterima dan mendapat tentangan daripada masyarakat Cina negara ini.

Beberapa pemimpin kaum Tionghua turut menyelar tindakan biadab pasangan digelar Alvin dan Vivian itu serta mahu tindakan tegas diambil ke atas mereka demi menjaga keharmonian kaum.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong menganggap perbuatan pasangan itu kurang ajar dan mereka wajar ditangkap serta dikenakan tindakan undang-undang.

"Saya ada berbincang dengan 10 rakan Cina tentang perkara ini, kesemua mereka amat marah dan menyifatkan perbuatan itu tidak sepatutnya terjadi. Saya yakin kaum Cina lain juga marah dan menganggap perkara itu cukup kurang ajar.

"Dua orang ini perlu 'diajar'. Dahulu mereka memalukan kaum Cina, tetapi sekarang melakukan publisiti murahan dengan menghina masyarakat Islam pula," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. 

Pasangan yang sebelum ini merakam adegan seks, baru-baru ini telah memuat naik gambar mereka menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)... wangi, enak dan menyelerakan' di laman Facebook mereka.

Mengulas lanjut, Michael bersetuju jika pasangan itu ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.

"Apa cara sekali pun, mereka berdua ini perlu diajar dan dihukum. "Dahulu mereka pernah memalukan kaum Cina dengan melakukan perbuatan terkutuk, sekarang mereka cuba menggugat keharmonian kaum pula," katanya.

Seorang lagi pemimpin kaum Cina iaitu Pengerusi Pertubuhan Social Care, Tan Sri Robert Phang berkata, perbuatan Alvin dan Vivian itu sangat melampau dan tidak boleh diterima sama sekali.

"Perbuatan menunjukkan makanan 'non halal' sebegitu dengan kapsyen 'Selamat Berpuasa' sangat melampau. Perkara itu tidak boleh dibenarkan kerana kaum Cina di negara ini harus menghormati ibadat orang Islam yang sedang berpuasa.

"Saya harap kaum Cina menjaga sensitiviti rakyat dengan tidak melakukan perbuatan menjejaskan keharmonian kaum," katanya ketika ditemui selepas membuat satu laporan polis di Balai Polis Tun Razak hari ini.

Selain beliau, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pasangan itu boleh disiasat mengikut undang-undang berikutan laporan polis yang dibuat banyak pihak.

"Mereka tidak sensitif dengan perkara yang begitu penting kepada orang Islam dan saya sebagai pemegang amanah Yayasan 1Malaysia amat kesal apabila perkara ini terjadi. "Saya juga anggap perbuatan mereka itu tidak boleh diterima ramai dan wajar dikecam pelbagai pihak," katanya.(Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com., at 11.08 am on July 15,2013.

No comments: