Saturday, July 27, 2013

Pengakuan Jasbir bukti Suaram,pembangkang tabur fitnah

Kiri Ng Lum  Yong,Azwanddin,Anuar Shaari
KUALA LUMPUR 27 Julai - Pengakuan 'orang tengah' bagi perolehan kapal selam Scorpene, Jasbir Singh Chahl berhubung isu-isu berkaitan kapal selam tersebut serta model Mongolia, Altantuya Shaariibuu jelas membuktikan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan pihak pembangkang melakukan penipuan terancang untuk memburuk-burukkan kerajaan.

Perkara itu ditegaskan beberapa pihak ketika memberi maklum balas terhadap pengakuan Jasbir yang berani bersumpah bahawa beliau tidak pernah berjumpa dan mengenali Altantuya selain model itu tidak terlibat atau berada di Perancis sepanjang proses rundingan pembelian Scorpene.

Pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong berkata, perancangan untuk 'meruntuhkan' kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui fitnah isu Altantuya serta Scorpene sememangnya telah dirancang pihak-pihak tertentu sejak 2005.

''Ketika itu saya masih dalam PKR, saya faham perancangan ini (fitnah) telah diatur dengan cukup tersusun dan profesional. Ini melibatkan portal berita propembangkang dan pemimpin pembangkang dan perancangan itu berterusan sehingga kini.

''Pengakuan Jasbir sudah cukup membuktikan fitnah-fitnah ini adalah tipu terutama apa yang didakwa Suaram,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Dalam laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan, Jasbir mengakui tidak mengenali Altantuya, malah model tersebut tidak terlibat dalam pasukan rundingan perolehan Scorpene.

Laporan itu turut menyebut dokumen rasmi dari Perancis menjelaskan polis negara itu mengesahkan Altantuya tidak pernah memasuki Perancis dari 1999 hingga 2006.

Jasbir juga memberikan penjelasan lanjut berhubung isu utama dalam perolehan Scorpene iaitu komisen terutama pembayaran RM452 juta kepada Perimekar Sdn. Bhd., syarikat yang menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Lum Yong berkata, fitnah mengenai Scorpene dan Altantuya pernah dirungkai oleh bekas peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Zulkifli Noordin yang mengakui pernah diarah Ketua Pembangkang itu untuk mengada-adakan bukti dalam kes pembunuhan Altantuya.

Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari meminta Peguam Negara bertindak segera dengan membawa Suaram ke muka pengadilan kerana menyelewengkan fakta serta menyebarkan fitnah. 

"Suaram ternyata berbohong serta berniat jahat apabila memesongkan fakta sebenar mengenai urusan pembelian kapal selam Scorpene.

"Kerajaan perlu membetulkan persepsi salah yang selama ini disemai oleh Suaram," katanya. Dalam pada itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah mendesak Suaram dan pembangkang untuk memberikan penjelasan di sebalik pengakuan Jasbir.

''Saya juga desak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang membuat fitnah ini walhal ia terbukti tidak benar. Pihak-pihak ini ada agenda besar dan jahat untuk meruntuhkan institusi kerajaan.

 ''Sedangkan Naib Presiden PKR, Tian Chua pernah direkodkan mengakui perkara itu tidak benar seperti terkandung dalam penyata rasmi Parlimen,'' katanya.( Utusan online-Dalam Negeri)..Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1331 hrs on July 28,2013.

No comments: