Sunday, July 7, 2013

Permit import atasi kekurangan ayam

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS 
pengarang@utusan.com.my

ISMAIL Sabri Yaakob mengagihkan bungkusan sayur kepada pengunjung selepas melancarkan Program Jimat Belanja Dapur 2013 di Pasar Tani Mega di Stadium Shah Alam, Selangor, semalam. - BERNAMA 

SHAH ALAM 7 Julai - Kerajaan membuka permit import ayam bulat dari negara luar seperti Thailand, Eropah dan Australia bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap ayam bersih menjelang musim perayaan Aidilfitri bulan depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peningkatan permintaan bekalan ayam juga disebabkan kebanyakan industri berasaskan ayam seperti makanan segera beralih mendapatkan bekalan daripada penternak tempatan.

Beliau berkata, keadaan itu ekoran larangan eksport bahagian ayam dari China akibat penyebaran virus selesema burung jenis H7N9 yang dikesan di negara itu sekali gus menyebabkan harga ayam bulat meningkat sejak kebelakangan ini.

"Kami akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang mengawal harga ayam bagi menyelesaikan masalah tersebut.

"Pada masa ini kita sudah membenarkan import ayam bulat dari Thailand, tetapi jumlah itu tidak mencukupi dan kementerian sudah menambah pusat penyembelihan (bertauliah) di Thailand untuk membantu menambah pengeluaran ayam bulat.

"Jika ada pihak yang mahu membawa masuk ayam bulat dari luar, mereka boleh mendapatkan kebenaran daripada kementerian. Saya tidak mahu ada pihak mendakwa kita mengawal import ayam bulat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jimat Belanja Dapur 2013 di Pasar Tani Mega di Stadium Shah Alam di sini hari ini.


Permintaan ayam bulat di pasaran negara ini adalah sebanyak 1.4 juta ekor sehari dan jumlahnya meningkat kepada 2.2 juta hingga 2.4 juta ekor sehari menjelang musim perayaan.

Pada masa ini, terdapat lebih 30 pengimport ayam di seluruh negara dan bilangannya diharap bertambah bagi memenuhi permintaan yang bakal bertambah menjelang Aidilfitri.

Mengenai dakwaan kekurangan makanan ayam menyebabkan penternakan ayam tidak rancak, Ismail Sabri berkata, isu tersebut bukan suatu yang baharu dan kementerian melihat tentang kemungkinan pengeluaran bahan makanan haiwan termasuk makanan ayam dihasilkan sendiri di negara ini.

Beliau berkata, pada masa ini penternak tempatan banyak bergantung kepada bahan makanan haiwan daripada luar termasuk India dan Brazil untuk mendapatkan bekalan jagung bagi makanan ayam.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kementeriannya komited untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 1,000 pasar tani di seluruh negara menjelang 2020.

 "Barangan di pasar tani adalah dijual terus oleh petani atau pengeluar kepada pengguna menyebabkan harga yang ditawarkan lebih rendah berbanding jika sesuatu barangan dijual melalui orang tengah.

"Saya harap kira-kira 508 pasar tani yang diwujudkan di seluruh negara kini dapat membantu pengguna berjimat selain kementerian akan cuba membuka lebih banyak pasar harian seperti di Jerantut, Pahang dan Larkin, Johor," katanya.(UTUSAN ONLINE-DALAM NEGERI).Posted  by  abnmulya / Haji Abu Bakar Ninggal.blogspot.com at 11.32 am on July 08,2013.

No comments: