Friday, August 30, 2013

1 Juta pengguna air Lembah Kelang terjejas

Oleh AZIAN AZIZ pengarang@utusan.com.my
Beginilah keadaan sungai yang dicemari tumpahan minyak diesel di Rawang, Selangor, semalam.

KUALA SELANGOR 30 Ogos - Empat loji rawatan air (LRA) yang diuruskan oleh Puncak Niaga Holdings Bhd. dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash) di negeri ini terpaksa dihentikan sementara operasinya akibat tumpahan minyak diesel yang berlaku di hulu sungai di sekitar kawasan Rawang dekat sini pagi ini.

Penutupan sementara operasi di LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2), LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang itu dijangka menjejaskan bekalan air kepada 240,000 akaun atau hampir sejuta orang pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

Sehubungan itu, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan Kod Merah bagi tujuh wilayah iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor bermula pukul 4 petang ini dan meletakkan kakitangannya dalam keadaan bersedia untuk mengurus gangguan dan bantuan bekalan air kepada pengguna terlibat.

Tiga kawasan yang tidak terjejas ialah Sabak Bernam, Hulu Langat dan Sepang. Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, operasi empat loji terlibat terpaksa dihentikan bermula pukul 8 pagi ini kerana tumpahan diesel yang dipercayai berpunca daripada sebuah bengkel menyebabkan pencemaran sumber air kepada empat loji berkenaan. 

Untuk makluman ujar beliau, keempat-empat LRA itu mengeluarkan bekalan air terawat sebanyak 2,670 juta liter sehari (JLH) iaitu 57 peratus daripada jumlah permintaan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Jika penutupan operasi loji rawatan air ini berlarutan untuk tempoh yang lebih lama, sebahagian pengguna terlibat dijangka mengalami tekanan air rendah dan gangguan bekalan air terutamanya yang berada di penghujung sistem agihan bekalan air dan di tempat tinggi atau dengan simpanan kecil.

"Sehubungan itu, pengguna pada masa kini hanya bergantung kepada simpanan air terawat yang ada di kolam-kolam imbangan keempat-empat loji rawatan dan kolam-kolam perkhidmatan Syabas yang berada setiap kawasan pengguna.

"Operator loji-loji berkenaan kini sedang memantau keadaan bagi memastikan air yang tercemar tidak mengalir masuk ke loji rawatan air supaya setiap LRA dapat beroperasi semula dengan kadar segera apabila pencemaran diatasi," kata beliau kepada pemberita di LRA Muka Sauk Fasa II Bukit Badong, Bestari Jaya di sini petang ini.

Menurut Abdul Halem lagi, dengan rezab kapasiti bekalan air terawat yang kecil iaitu sekitar satu peratus sahaja tetapi terpaksa menampung permintaan tinggi, penutupan operasi sementara LRA SSP1, SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang kali ini akan menyebabkan pemulihan mengambil masa agak lama walaupun setelah kesemua LRA beroperasi seperti sedia kala.

Kata beliau, tempoh masa yang diambil untuk keadaan bekalan air pulih sepenuhnya di semua kawasan terlibat adalah secara berperingkat dan Syabas menjangkakan kawasan tinggi dan jauh dari kolam air terutamanya adalah kawasan terakhir akan pulih sepenuhnya.

"Memandangkan kemungkinan gangguan bekalan air berlarutan dan melibatkan kawasan besar, Syabas akan menyediakan sebanyak 42 lori tangki air dan 525 tangki statik untuk tujuan ini.

"Bagaimanapun Syabas tidak dapat menyediakan sumber yang mencukupi bagi memenuhi keperluan semua pengguna terlibat kerana jumlahnya sangat ramai dan pengguna terlibat dinasihatkan agar bersabar dan menggunakan air untuk tujuan penting sahaja," nasihat beliau..(Utusan online--Dalam negeri).Posted b y abnmulya / Bakar NInggal.blogspot.com., at1309 hrs on Ogos 31,2013.

No comments: