Thursday, August 29, 2013

Irfan letak jawatan jurulatih Selangor

Oleh DHIYA'ZULHILMI DAUD 
sukan@utusan.com.my 
Irfan Bakti
KUALA LUMPUR - Pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim membuat keputusan meletakkan jawatan ketua jurulatih Red Giants ekoran kegagalan gergasi bola sepak itu merangkul sebarang kejayaan dalam musim ini di samping menghuni tangga tercorot Kumpulan A kempen Piala Malaysia.

Jurulatih itu mengesahkannya sendiri kepada Utusan Malaysia yang dibuat dalam satu pertemuan khas sejurus beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada pengurus bola sepak Selangor, Datuk Mokhtar Ahmad di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pukul 5 petang, semalam.

Irfan pernah membimbing beberapa pasukan ternama antaranya Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Telekom Melaka, Perlis serta Terengganu.

Beliau berhijrah ke Selangor pada 2012 selepas berhasrat membantu juara Piala Malaysia 32 kali itu melunaskan 'Misi 33' mereka untuk mendakap Piala Malaysia selain kontraknya sebagai jurulatih skuad Sang Penyu itu telah tamat.

Beliau yang pernah membimbing kelab Indonesia, Persipura Jayapura pada 2006, menyifatkan keputusan yang dibuat bukanlah berpunca daripada desakan sesiapa, tetapi ia adalah rasa tanggungjawabnya terhadap kegagalan membawa Red Giants meraih sebarang gelaran selama dua tahun membimbing pasukan itu.

''Saya sedar tanggungjawab membimbing pasukan yang memiliki kejayaan hebat seperti Selangor bukanlah sekadar memberikan mereka gelaran naib juara Liga Super sahaja pada musim ini tetapi sekurang-kurangnya memiliki satu trofi untuk dibanggakan," katanya.

Irfan juga berharap tiada pihak membuat spekulasi berhubung tindakannya ini kerana beliau telah berfikir panjang selain mendapatkan restu bersama keluarga yang turut memberikan pandangan serta keizinan dalam mencapai keputusan tersebut.

Dalam pada itu, Irfan turut berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) terutama bekas setiausahanya, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan pengurus pasukan, Datuk Mokhtar Ahmad yang banyak memberi sokongan kepadanya sepanjang beliau berada bersama pasukan Red Giants dan juga kepada peminat bola sepak negeri itu.

"Kepada penyokong-penyokong Red Giants, teruskan sokongan padu anda kepada pasukan ini tanpa mengira kalah ataupun menang.

''Bagaimanapun, saya percaya dengan P. Maniam selaku pembantu jurulatih untuk mengharungi saingan Piala Malaysia di mana Selangor perlu menang kesemua baki perlawanan untuk mengintai peluang mara ke peringkat suku akhir.

"Sama juga kepada pemain-pemain Selangor, teruskan usaha anda dan saya yakin dengan keupayaan anda untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang perlawanan ini.

"Selain itu, saya juga akan berhubung dengan kapten pasukan, Mohd. Asraruddin Putra Omar dan naib kapten, Mohd. Amri Yahyah untuk menjelaskan sebaik mungkin kepada rakan-rakan yang lain selain mengekalkan moral sedia ada kerana mereka berdua merupakan pemain yang cukup matang," ujarnya.(Utusan online-Sukan tempatan).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 2259 hrs on Ogos 29,2013.

No comments: