Monday, August 19, 2013

Kalaimah Allah: NGO Islam sokong ketegasan Zahid

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Ketegasan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan kalimah Allah sebagai hak mutlak agama Islam terus menerima sokongan penuh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, ketegasan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri itu perlu disyukuri dan memperlihatkan komitmen kerajaan bersama NGO Islam bagi terus mempertahankan kalimah Allah daripada digunakan mereka yang bukan beragama Islam.

"Penerangan dan pendedahan mengenai penyalahgunaan kalimah Allah ini sudah lama diperjuangkan oleh NGO-NGO Islam jadi kenyataan seperti itu sememangnya amat disambut baik.

"Mempertahankan kalimah Allah ini merupakan tanggung jawab semua umat Islam, jadi semua pihak perlu mengenepikan kepentingan politik demi tugas memartabatkan agama Islam sebagai agama Persekutuan negara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Semalam, Ahmad Zahid menyeru seluruh umat Islam, organisasi Islam serta para pemimpin Islam di negara ini agar bersatu hati dengan mengenepikan perbezaan politik demi mempertahankan kesucian kalimah Allah. 

Katanya, tanpa berniat mahu mendahului Mahkamah Rayuan yang akan membuat keputusan pada 22 Ogos ini berhubung permohonan pihak gereja Katholik untuk menggunakan kalimah Allah, katanya, kalimah Allah adalah hukum Qath'i (pasti) dan wajib seluruh umat Islam mempertahankannya.

Sementara itu, Zainul Rijal juga bersetuju dengan cadangan agar Majlis Raja-Raja Melayu mengambil ketetapan tegas berhubung isu itu.

"Perkara ini di bawah budi bicara Majlis Raja-Raja Melayu, sebagai ketua agama Islam, amat penting ketetapan tegas dan pandangan dibuat bagi memelihara agama Islam di negara ini," katanya.

Turut menyokong ketegasan sama ialah Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad.

"Saya bersetuju serta menyokong pandangan Ahmad Zahid tersebut dan semua NGO Islam seperti yang telah disepakati juga tidak akan membenarkan malah tidak reda penggunaan kalimah Allah selain oleh umat Islam.

"Malah kami NGO-NGO Islam meminta Menteri Dalam Negeri serta pihak-pihak berkuasa di negeri-negeri supaya menggunakan setiap enakmen mahupun peruntukan undang-undang sedia ada bagi menyekat keizinan kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berharap, ketegasan Ahmad Zahid itu dapat diberikan sokongan oleh Ahli Parlimen lain.

"Ketegasan yang dibuat disambut baik dan kami berharap rakan-rakan Kabinet beliau memberikan sokongan padu bagi membolehkan amanah Allah dan negara dilaksanakan dengan lebih teratur sekali gus mengelak dari membawa Malaysia menjadi negara berpecah-belah.

"Malah POKB turut berharap semua mufti dan ulama di seluruh negara bersatu mempertahankan kalimah daripada digunakan oleh penganut Kristian," katanya.(Utrujsan online-dalam negeri).Posted by abnmulya /Bakar Nin ggal.blogspot.com.at 1518 hrs on Ogos 19,2013.


No comments: