Sunday, August 18, 2013

Kekalkan perpaduan parti

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF fairuz.yusof@utusan.com.my Najib Tun Razak menyerahkan sumbangan kepada bakal-bakal haji dalam majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang, semalam. - MINGGUAN/AHMAD ZAKKI JILAN 

PEKAN 17 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semangat kekeluargaan dan permuafakatan dalam UMNO perlu dikekalkan demi memastikan kejayaan parti pada masa depan.

Dengan mengambil kira pemilihan parti yang akan diadakan tidak lama lagi, Perdana Menteri mengingatkan walau apa pun pertimbangan dan niat untuk bertanding, prinsip permuafakatan dan kekeluargaan dalam UMNO perlu dikekalkan.

"Ini asas kita. Banyak lagi cabaran dihadapi dan kalau kita berpadu serta bermuafakat, UMNO akan terus berjaya," katanya ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini hari ini.

Mengambil konteks kejayaan besar Parlimen Pekan dan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya umum lalu, Najib berkata, semangat kepimpinan di semua peringkat begitu padu dalam mencapai usaha tersebut.

"Ramai orang luar yang datang ke sini kagum dengan permuafakatan dan komitmen kita hingga menyaksikan gerak kerja teratur. Bukan senang nak menang besar, tetapi bila menang besar bukan mudah kerana kita berpadu sebagai satu keluarga," katanya.

Menurut beliau, perkara itu tidak dinafikan berikutan gerak kerja dilakukan meliputi pelbagai peringkat sama ada di peringkat cawangan dan juga Pusat Daerah Mengundi (PDM).(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1.19 am on Ogos 19,2013.

No comments: