Wednesday, August 28, 2013

MITI kaji kos faedah TPPA

Oleh Fauzi Jaafar ekonomi@utusan.com.my

Mustapa Mohamed (dua kanan) mempelawa Menteri Perdagangan dan Industri Afrika Selatan, Rob Haydn Davies (tengah) mencuba keenakan sate pada Majlis Rumah Terbuka Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memulakan dua lagi kajian kos faedah sebagai input yang menilai kepentingan negara dan rakyat dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kajian kos faedah itu adalah analisis kepentingan negara dan kepentingan bumiputera serta industri kecil dan sederhana (IKS) yang akan disiapkan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

Beliau menegaskan, walaupun dikritik oleh pelbagai pihak berhubung dengan TPPA, tetapi kerajaan bersikap terbuka dan bersedia mempertimbangkan segala input yang diberikan.

"Dua kajian itu akan disiapkan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi dan hasilnya akan didedahkan kepada umum. Kita bersifat telus dalam perkara (TPPA) ini,'' katanya pada sidang akhbar di Majlis Rumah Terbuka MITI di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Ir. Hamim Samuri dan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria.

Mengulas mengenai kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam, Mustapa menegaskan bahawa pendirian kerajaan adalah selari dengan kepentingan negara.

"Buat masa ini kita (kerajaan) akan meneruskan perbincangan terhadap TPPA dan kita akan mengambil kira pandangan Tun (Dr. Mahathir) dan juga pihak-pihak lain,'' jelas beliau.

Semalam, Dr. Mahathir dalam satu Persidangan Meja Bulat TPPA anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) telah meminta kerajaan mempertimbangkan untuk tidak menandatangani TPPA.

Ini kerana, beliau menyifatkan perjanjian itu akan membawa kepada penjajahan baharu oleh negara kuasa besar kerana terma yang dikenakan memberi lebih banyak kerugian kepada Malaysia berbanding keuntungan.( Utusan online-ekonomi).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com., at 2031 hrs on Ogos 28,2013.

No comments: