Wednesday, August 28, 2013

Pelaksana lemah 'penyakit' jejaskan dasar pendidikan negara

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kelemahan dari segi pelaksanaan dikenal pasti sebagai 'penyakit' yang menjejaskan keberkesanan dasar pendidikan negara yang digubal kerajaan sejak merdeka hingga sekarang. 

Tan Sri Abd.Aziz Abd.Rahman
Bekas Pengerusi Malaysia Airlines System Bhd. (MAS), Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman berkata, dasar pendidikan negara berupaya mencapai matlamat yang disasarkan sekiranya dilaksanakan dengan baik. 

Menurut beliau, pelaksanaan dasar pendidikan negara memerlukan ketegasan bagi memastikan ia diterima oleh semua pihak di negara ini.

"Apa yang berlaku dalam sistem pendidikan negara sejak 56 tahun lalu bukan masalah dasar. Dasar kita memang cukup baik.

"Penyakit kita ialah tidak melaksanakan apa yang ditulis. Kita tidak tegas dan perkara ini kita akan ketengahkan kepada kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merumuskan Sidang Selari 5 pada Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang bertema Memartabatkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Abd. Aziz merupakan moderator sidang selari bertajuk Perlembagaan Persekutuan Lindungi Hak Pendidikan Saksama yang turut disertai pakar perundangan, Prof. Datuk Abdul Halim Sidek dan pengamal undang-undang, Noorhajran Mohd. Noor.

Terdahulu, beberapa peserta mencadangkan agar kerajaan bersikap tegas dalam pelaksanaan dasar pendidikan negara khususnya berhubung pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan pemupukan integrasi nasional di sekolah.

Dalam pada itu, Abd. Aziz turut menggesa kerajaan menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di mahkamah seperti yang termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

"Undang-undang menyatakan bahasa yang sepatutnya digunakan di mahkamah ialah bahasa Melayu tetapi hakim diberi kuasa untuk membenarkan penggunaan bahasa Inggeris," ujarnya.(Utusan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com., at 1938 hrs on Ogos 28,2013.

No comments: