Sunday, August 11, 2013

Surau dijadikan tokong?

Oleh FARIK SALLEH pengarang@utusan.com.my 

Sekumpulan penganut Buddha membaca mentera dalam sebuah surau di sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi, semalam. UTUSAN/FARIK SALLEH 

KOTA TINGGI 11 Ogos - Penduduk sekitar perkampungan nelayan Sedili Besar di sini, gempar selepas bangunan yang didirikan di sebuah kawasan resort sebagai surau dicemari dengan upacara sembahyang agama lain.

Upacara sembahyang yang dijalankan dipercayai oleh penganut agama Buddha itu disedari seorang pengunjung resort yang ingin menunaikan solat asar petang semalam.

Ahmad Tarmizi Adnan, 45, bersama 10 ahli keluarganya yang berkunjung ke resort itu sempena cuti Hari Raya Aidilfitri terkejut sebaik sahaja tiba di bangunan tersebut selepas terdengar suara orang seperti sedang membaca mentera berserta bunyi loceng.

"Apabila saya tinjau, sekumpulan lelaki dan wanita berpakaian serba putih kelihatan sedang membuat upacara sembahyang yang diketuai seorang sami.

"Saya terus merakam upacara itu menggunakan telefon bimbit sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Sedili," kata peniaga yang berasal dari Lembah Pantai, Kuala Lumpur itu.

Sementara itu, penduduk, Abd. Halim Ibrahim, 44, kesal dengan tindakan pengusaha resort tersebut yang tidak peka dengan sensitiviti masyarakat di kawasan berkenaan.

"Kita tahu bangunan tersebut dibina di tanah persendirian milik pengusaha, tetapi janganlah memperlekeh kesucian agama Islam dengan membenarkan upacara sembahyang agama lain di surau.

"Sehubungan itu, saya berharap pihak berkuasa tempatan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pengusaha resort tersebut," katanya.

Sementara itu, Imam II Masjid Besar Al-Muttaqin Sedili Besar, Norizan Haron, 51, mengakui kecewa kerana beliau adalah salah seorang yang menyokong dan menandatangani permohonan pengusaha tersebut mendirikan sebuah surau bagi pengunjung beragama Islam yang menginap di resort tersebut.

"Saya kecewa apabila pengusaha resort itu tidak menghargai apa yang kami berikan, sebaliknya memperlekeh agama Islam," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati persekitaran surau berkenaan sudah dibersihkan namun pemilik atau pengusaha resort tersebut gagal dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Mohd. Nor Rasid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut yang dibuat penduduk kampung berkenaan.(Utusan online-Jenatah).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 8.57 am on Ogos 12,2013.

No comments: