Wednesday, September 25, 2013

33,682 calaon sah bertanding

MOHD. Tajul Rosli Ghazali (tengah) menunjukkan rumusan pendaftaran calon dalam pemilihan UMNO mengikut negeri dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh (kiri) dan Pemangku Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas.

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Sebanyak 33,682 calon akan bertanding dalam pemilihan UMNO pada Oktober ini. Daripada jumlah tersebut, seramai 260 orang akan bertanding di peringkat pusat termasuk Majlis Tertinggi iaitu 76 calon, Pergerakan Wanita (52 calon), Pemuda (94 calon) dan Puteri UMNO (38 calon) manakala selebihnya di peringkat perhubungan negeri (bahagian).

Pemilihan UMNO kali ini akan turut menyaksikan 146,500 ahli parti tersebut diberi peluang mengundi melalui mekanisme pengiraan yang mengadaptasi sistem Electoral College atau Badan Perwakilan Pemilih dengan satu bahagian dikira sebagai satu undi bagi menentukan barisan kepimpinan parti itu di peringkat pusat.

Setakat ini hanya Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman kekal satu-satunya calon di peringkat Pusat yang menarik diri iaitu bagi jawatan Naib Ketua Wanita.

Di peringkat perhubungan negeri pula, sebanyak 268 calon menarik diri dalam tempoh 72 jam selepas menyerahkan borang pencalonan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2013, Tan Sri Mohd. Tajol Rosli Ghazali berkata, Sabah iaitu negeri kedua yang mempunyai jumlah keahlian UMNO terbanyak menampilkan calon terbesar berjumlah 4,453 calon diikuti Johor (4,250 calon) dan Selangor (4,035 calon). 

Dalam sidang akhbar di sini, hari ini beliau berkata, negeri yang menyaksikan jumlah calon teramai menarik diri pula adalah Selangor iaitu 37 calon di ikuti Perak (35) dan Pulau Pinang (32) manakala Johor paling sedikit selepas hanya seorang berbuat demikian.

Tumpuan pemilihan kali ini sudah pastilah untuk jawatan Naib Presiden apabila enam calon bertanding termasuk tiga penyandang iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Mereka akan dicabar oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir; bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd.Isa Abdul Samad.

Pertarungan di peringkat sayap parti juga turut menarik perhatian apabila kesemua jawatan utama iaitu ketua dan naib ketua bagi Wanita, Pemuda dan Puteri akan dicabar.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mempertahankan jawatan akan ditentang oleh bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan dan Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Bahagian Kulim Bandar Bahru, Raihan Sulaimen Palestin.

Bagi jawatan Ketua Pemuda pula, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berdepan dengan empat pencabar yang merupakan pemimpin di peringkat cawangan.

Mereka ialah Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bendang Baru Langkawi, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi; Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bukit Setiawangsa, Irwan Ambak; Penolong Setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail dan bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok, Abd. Karim Ali.

Untuk jawatan Ketua Puteri pula, ia menyaksikan pertarungan dua penjuru antara Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyanti Samsudin dan Ketua Puteri UMNO Petaling Jaya Selatan, Jamilah Hanim Osman.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com at 1422 hrs on September 26,2013.

No comments: