Monday, September 16, 2013

Kerajaan negeri abai kebajikan penduduk PPRT- Noh Omar

YB Datuk Seri Noh Omar,Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor
SHAH ALAM 16 Sept. - Kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang di Selangor disifatkan gagal membela nasib rakyat apabila didakwa mengabaikan penduduk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di negeri ini.

Merujuk masalah yang dihadapi lebih 10,000 penduduk PPRT Lembah Subang dekat sini, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS), Datuk Seri Noh Omar berkata, penduduk di kawasan itu terpaksa melalui kehidupan yang sukar akibat kelemahan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menguruskan kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan sedia ada.

Katanya, berdasarkan tinjauan di PPRT berkenaan, pihaknya mendapati perumahan setinggi 16 tingkat tersebut berada dalam keadaan cukup daif selain kemudahan seperti lif serta lampu-lampu jalan yang rosak dan tidak diperbaiki sehingga kini.

"Penduduk merungut kerana kerajaan negeri tidak membela nasib mereka. Selain gelap, lifnya juga tidak berfungsi malah mendedahkan penduduk dengan risiko kemalangan.

"Bagi menyelesaikan masalah itu, Kerajaan Pusat telah menyalurkan peruntukan RM1.3 juta baru-baru ini untuk membaiki semula lampu jalan yang rosak di PPRT berkenaan selain tambahan RM300,000 untuk pembaikan lif melibatkan tiga blok iaitu A, B dan C dengan kerja-kerja pembaikan tersebut akan dilaksanakan oleh MBPJ," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Hari Malaysia dan merasmikan pejabat UMNO Saujana Utama dan perasmian Persatuan Bekas-bekas Ahli Majlis PBT UMNO Selangor (Pemanis), di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Amiruddin Setro; Pengerusi Pemanis, Datuk Yusoff S.M. Haniff dan Ketua UMNO Cawangan Saujana Utama, Abd. Hamid Salihan.

Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor juga mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang dikatakan menaikkan kadar sewa PPRT berkenaan sebanyak RM250 sebulan sedangkan semasa pentadbiran negeri di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum ini kadar sewa yang dikenakan hanya RM124 sebulan.

"Jika sewa dinaikkan, mengapa kemudahan di PPRT ini tidak berada dalam keadaan baik. Keadaan ini jelas menunjukkan penduduk tidak dibela dengan sewajarnya," tegas beliau.

Noh turut mempertikaikan peranan Ahli Majlis yang dilantik di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu yang dikatakan mempolitikkan pengurusan PPRT tersebut apabila meletakkan individu tertentu sebagai wakil penduduk.

Kata beliau, wakil yang dipilih sendiri oleh penduduk dan sepatutnya menguruskan hal ehwal perumahan dan masyarakat di situ, tidak diiktiraf pula oleh pihak berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, penubuhan Pemanis adalah tepat pada waktunya bagi menjadi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bebas bersuara membela nasib rakyat di negeri ini.

"Anggota Pemanis mempunyai pengalaman dalam masalah membabitkan isu-isu pihak berkuasa tempatan kerana mereka pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis ketika pemerintahan BN di Selangor sebelum ini," katanya.(Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 8.21 am on Sept 17,2013.

No comments: