Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
Mohmad Salleh (kanan) bersama tiga pegawainya menunjukkan senjata dan barang-barang yang dirampas daripada penjenayah termasuk 14 ahli kongsi gelap dalam Ops Cantas Khas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 4 Sept. - Tindakan empat anggota kongsi gelap Geng 08 mengurung dan memaksa seorang gadis melakukan seks luar tabii akhirnya menjerat diri apabila mereka ditangkap selepas mangsa melaporkan perbuatan jenayah itu kepada polis baru-baru ini.
Mangsa berusia 19 tahun dipercayai teman wanita kepada salah seorang suspek dipaksa melakukan seks luar tabii dengan keempat-empat lelaki berkenaan di sebuah hotel di ibu negara pada minggu lalu.
Gadis yang dikurung selama beberapa hari itu akhirnya dapat meloloskan diri dan melaporkan kejadian itu kepada polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, polis yang membuat tangkapan dan pemeriksaan mengenal pasti suspek adalah anggota Geng 08 kerana tiga daripada mereka mempunyai tatu kumpulan kongsi gelap berkenaan.
Beliau berkata, polis turut merampas sebilah parang, alat pemotong kertas, telefon bimbit, batang besi dan sisa plastik dipercayai mengandungi dadah bersama suspek.
"Empat lelaki terbabit merupakan antara 14 individu yang disyaki ahli kongsi gelap yang ditahan dalam Ops Cantas Khas dijalankan oleh polis Kontinjen Kuala Lumpur sejak dilancarkan 17 Ogos lalu sehingga kelmarin.
"Sejak operasi itu dilancarkan, sebanyak 7,153 individu telah diperiksa dan 262 orang ditahan kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah.
"Antara ditangkap ialah 14 individu yang didapati mempunyai tatu atau lambang disyaki ahli kongsi gelap diharamkan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Datuk Dr. Chai Khin Chun kepada penggantinya, Datuk Aidi Ismail.
Khin Chun yang memegang jawatan tersebut selama sembilan bulan ditukarkan IPK Sarawak sebagai Ketua Jabatan Pengurusan di negeri itu dan tempatnya diganti oleh Aidi yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah II di Jabatan Logistik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Menurut Mohmad, daripada 14 ahli kongsi gelap yang ditahan, 11 suspek adalah berketurunan India manakala tiga lagi Melayu yang menganggotai Geng 08, Geng 36, Kumpulan 77 dan Tiga Line.
"Selain mempunyai tatu atau lambang kumpulan kongsi gelap, suspek juga didapati terlibat dengan pelbagai kes jenayah seperti samun, memiliki senjata berbahaya dan melakukan hubungan seks luar tabii," katanya.
Beliau berkata, semasa tangkapan, polis turut merampas pelbagai senjata dan barang kes yang disyaki ada kaitan dengan aktiviti kongsi gelap serta hasil rompakan.
Katanya, barang-barang dirampas adalah sembilan bilah parang, pisau (3), sabit (1), besi panjang (2), telefon bimbit (19), kamera (5), jam tangan (9), topi keledar (3), buku bank (2), pasport antarabangsa (2), kad pengeluaran wang automatik (1) dan plat nombor pendaftaran kenderaan (2).
Tambahnya, daripada 262 individu ditangkap itu, sebanyak 163 orang masih ditahan untuk siasatan lanjut, 47 orang sudah dituduh di mahkamah, 25 orang dibebaskan dengan jaminan polis dan 27 orang dibebaskan tanpa syarat setelah didapati tidak terlibat dengan kegiatan jenayah.(Utusan online-Jenayah).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com. at 3.27 am on Sept.,05,2013.
No comments:
Post a Comment