Thursday, September 19, 2013

Seorang lagi tawar diri rebut jawatan Ketua Pemuda

ALOR SETAR 19 Sept. - Pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO semakin panas selepas bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok, Karim Ali mengumumkan mencabar penyandangnya, Khairy Jamaluddin dalam pemilihan parti itu bulan depan.

Karim yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Cawangan Kampung Kuala Sin memberitahu, beliau menawarkan diri bertanding jawatan itu demi mengembalikan kegemilangan sayap parti tersebut.

"Saya terpanggil menawarkan diri demi parti dan Pemuda UMNO yang memerlukan perubahan termasuk mengembalikan kepercayaan anggota masyarakat terutama golongan muda dalam parti.

"Saya mempunyai pengalaman dan yakin dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dengan keputusan itu, jawatan Ketua Pemuda UMNO kini menghadapi persaingan tiga penjuru selepas anak bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sanusi Junid, Akhramsyah yang juga anggota UMNO Cawangan Bendang Baru, Langkawi turut mengesahkan merebut jawatan tersebut. 

Menurut Karim, beliau membuat keputusan bertanding jawatan itu bagi membawa perubahan besar dalam sayap parti UMNO tersebut.

"Ini adalah kesinambungan perjuangan saya bersama Pemuda UMNO dan saya berharap untuk terus berjuang dalam parti," katanya.

Tambah Karim, beliau akan menyerahkan borang pendaftaran calon jawatan tersebut esok. - UTUSAN ONLINE-Politik (Posted by abnmulya  /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 2.18 am on Sept., 20,2013.

No comments: