Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD dan
MUHAMAD AZRIN MAD HEDER
sukan@utusan.com.my
Khairy Jamaluddin (tiga dari kanan) meraikan kontinjen Malaysia yang akan beraksi pada Sukan Perpaduan Negara-Negara Islam Ketiga di Palembang, Indonesia dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/Abdul Razak Latif
KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menasihatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya meletakkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) tertentu jika mereka memutuskan untuk mengganti Datuk K. Rajagobal dengan mana-mana jurulatih terbaik, termasuk dari luar negara.
Katanya, jika jurulatih seperti Philippe Troussier dari Perancis menuntut sehingga RM416,000 untuk gaji bulanannya, itu adalah harga pasaran yang perlu dibayar setimpal dengan latar belakangnya sebagai antara jurulatih terbaik dunia.
"Jika dia yang terbaik tidak kira jurulatih tempatan atau luar negara, kita letakkan KPI, bukan bagi gaji begitu sahaja. Jika tidak tepati KPI, kita tamatkan kontraknya tetapi untuk dapatkan yang terbaik, mesti bayar gaji yang terbaik juga.
"Jangan sensasikan isu gaji yang akhirnya kita gagal dapat hasil yang terbaik akibat cemburu atau dengki," katanya selepas upacara penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Perpaduan Negara-Negara Islam Ketiga, di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam.
Beliau mengulas mengenai kebanjiran permohonan daripada 40 calon tempatan dan luar negara yang diterima FAM ekoran kontrak Rajagobal sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya bakal berakhir Disember ini.
Troussier, yang pernah membawa Jepun mara ke pusingan kedua Piala Dunia 2002 dan menjuarai Piala Asia 2000 antara yang turut berminat.
Kata Khairy, kebanyakan pasukan negara lain juga dilatih oleh jurulatih luar, dan sebagai menteri, malah bekas Timbalan Presiden FAM, beliau hanya mahu melihat skuad Harimau Malaya mencapai kejayaan.
"Saya hendak pasukan kita berjaya kerana kita ada bakat yang baik dalam Harimau Muda A (bawah 23 tahun).
Apabila memasuki skuad senior, mereka perlu bimbingan jurulatih terbaik dan berpengalaman yang dapat mengeluarkan potensi atlet," katanya.
Dalam perkembangan lain, Khairy turut mengulas mengenai kekalahan terbaharu skuad sepaktakraw negara kepada Korea Selatan pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-28 di Udonthani, Thailand minggu ini.
"Saya memang sedih sebab kalah, namun apa yang harus dibuat pada masa depan dan pemulihan semula sukan yang dekat dengan negara kita ini, itu lebih penting," katanya.
Isnin lalu, Malaysia kalah kepada Korea dalam acara beregu di peringkat kumpulan, sebelum tewas sekali lagi dalam acara antara regu.( Utusan-onlne-sukan tempatan).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.Blogspot.com a 1.52 am on Sept.,20,2013.
No comments:
Post a Comment