Tuesday, October 29, 2013

Kelantan pilihan jurulatih-jurulatih boleh sepak Liga Malaysia

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my 
Penyerang import Kelantan, Dickson Nwaekame (tengah) akan menjadi senjata utama The Red Warriors menentang Pahang pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam, Ahad ini. 

KUALA LUMPUR - Rata-rata jurulatih Liga Malaysia memilih Kelantan menjuarai Piala Malaysia 2013 pada perlawanan akhir Ahad ini sekali gus memanjangkan penantian 21 tahun Pahang untuk menjulangnya atas faktor pengalaman dan kualiti pemain The Red Warriors.

Hanya jurulatih Sarawak, Robert Alberts yang bersikap berkecuali dengan menyatakan, cuma pasukan yang terbaik akan mampu menjulang trofi berprestij berusia 46 tahun pada edisi 2013 yang menjadi penutup tirai Liga Malaysia musim ini.

Jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan berkata, penentuan juara ibarat bergantung kepada kemahuan Kelantan mahu atau tidak untuk bergelar juara lagi. Beliau meramalkan perlawanan akhir itu akan berakhir dalam 90 minit masa sebenar yang memihak Kelantan 1-0 atau 2-1.

"Tidak mungkin terheret ke masa tambahan biarpun saya puji Pahang yang memiliki Azamuddin Akil, Matias Conti dan R. Gopinathan. Ramai pemain Kelantan yang boleh dikatakan susah nak dikawal tetapi jika Kelantan main lewa atau ambil mudah, keputusannya boleh berubah," katanya.

Jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria berkata, Kelantan ada pengalaman dan ramai pemainnya kerap beraksi pada perlawanan akhir.

Katanya, bahagian tengah dan serangan mereka juga lebih baik dan berkualiti. ''Mungkin keputusannya Kelantan menang 2-0 dalam 90 minit.

"Namun, jangan pandang rendah Pahang kerana jika Kelantan berbuat begitu dan mengambil ringan lawan, boleh berulang seperti ATM mendahului mereka 2-0 pada separuh akhir di Kota Bharu (Jumaat lalu). 

"Mungkin ramai meletakkan Dickson Nwakaeme (pemain import Nigeria) yang menjadi perhatian tetapi saya lebih menggemari dua pemain tempatan Kelantan, Nor Farhan Muhammad dan Badhri Radzi sebagai bintang perlawanan akhir itu," katanya.

Menurut Ismail, Pahang hanya mampu mengubah ramalan keputusannya itu dengan bersandarkan keinginan meluap-luap barisan pemain mudanya untuk menjulang Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada 1992 dengan menewaskan Kedah 1-0.

"Setelah sekian lama Pahang tidak memasuki perlawanan akhir, sudah pasti semangat dan keazaman pemain mereka lebih tinggi berbanding Kelantan yang sudah dua kali juara Piala Malaysia (2010 dan 2012).

"Pemain muda ini juga mempunyai motivasi lain iaitu untuk menghadiahkan Sultan Pahang sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-83, Khamis lalu," katanya yang membawa Sime Darby menceburi Liga Super musim depan, bergelar naib juara Liga Perdana dan mara ke suku akhir Piala Malaysia 2013.

Bagi bekas jurulatih Perak, Azraai Khor Abdullah, beliau meramalkan Kelantan menang dengan keputusan 3-1 tanpa memerlukan masa tambahan 30 minit.

''Ramai pemain Kelantan sudah berpengalaman perlawanan akhir Piala Malaysia (2009, 2010 dan 2012) dan barisan yang hampir sama akan bermain lagi.

"Kualiti Kelantan sudah terbukti ketika separuh akhir kedua menentang ATM apabila dalam 10 minit terakhir pemain mereka masih boleh menyengat. Badhri bakal menyerlah lagi kerana dia mampu mengawal dan mencipta rentak permainan malah menjaringkan gol.

"Kelantan terlalu bagus untuk ditewaskan sedangkan Pahang mungkin terlalu bergantung kepada Conti, Alex (Azamuddin) dan Fauzi Roslan (penjaring gol penyamaan separuh akhir kedua menentang Sarawak, Sabtu lalu)," katanya. (Utusan online-sukan tempatan).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com. at 1225 hrs on October 29,2013.


No comments: