Wednesday, November 20, 2013

Ketua pembangkang seperti cacing kepanasan

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini diibaratkan seperti 'cacing kepanasan' setelah tidak dapat membuktikan dakwaan pembangkang berhubung pembabitan sebanyak 40,000 warga asing yang mengundi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13. 

Ketua Pemuda UMNO,Khairy Jamaluddin(gambar kiri) berkata, atas sebab itu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan terpaksa menafikan dakwaan berniat jahat berkenaan sambil menuding jari kepada pihak lain. 

"Apa asas dia menafikannya apabila lidah rasmi PKR, Suara Keadilan turut menyiarkan gambar yang seolah-olah cuba mengaitkan warga Bangladeshdengan pilihan raya umum di negara ini?

"Mereka kata kononnya warga Bangladesh itu tidak tahu menyanyi lagu Negaraku dan sebagainya tetapi akhirnya mereka malu apabila 'Bangla' yang dituduh mereka itu adalah ahli mereka sendiri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan turut mempersoal taktik politik Anwar yang gemar melakukan tuduhan-tuduhan tanpa sebarang bukti berasas.

Katanya, rakyat perlu berwaspada terhadap permainan politik kotor yang ingin diwujudkan pembangkang terutama dalam mencipta pelbagai persepsi negatif berhubung kerajaan demi kepentingan mereka semata-mata.

"Soal warganegara mana tidak penting, yang penting adalah pembuktian. Adakah mereka dapat membuktikan tuduhan itu? Tidak, mereka hanya memanipulasikan isu, itu sahaja," katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mencabar Anwar supaya membuat laporan polis berhubung dakwaan BN membawa masuk sebanyak 40,000 warga asing untuk mengundi. 

Katanya, jika enggan, Anwar perlu menafikan dakwaan yang dibuat pembangkang tersebut. "Sekiranya Anwar mahu menafikan dakwaan pembangkang sebelum ini, maka saya menggesa beliau membuat laporan polis berhubung perkara ini.

"Saya ingin penjelasan daripada Anwar sama ada beliau mahu menafikan tuduhan pembangkang sebelum ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya at 12.42 am on November 21,2013.

No comments: