Thursday, December 26, 2013

ASAS PERSEMPADANAN SEMULA

Oleh KAMIL MASLIH 
pengarang@utusan.com.my 


Tan Sri Abdulk Aziz Mohd Yusof
KUALA LUMPUR 25 Dis. - Cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibentangkan di Parlimen tahun depan dengan pertimbangan terhadap kawasan-kawasan Parlimen yang jumlah pengundinya terlalu besar melebihi 100,000 orang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, asas untuk persempadanan semula itu mengikut Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan yang antaranya jumlah pengundi di sesuatu kawasan tidak terlalu besar sehingga menyukarkan wakil rakyat.

"Kita lakukannya berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan, kalau satu-satu kawasan Parlimen itu jumlah pengundinya melebihi 100,000 orang, kita kena kaji dan kurangkan.

"Keduanya, jumlah pengundi di setiap Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) mesti mengambil kira sama ada kawasan itu bandar, separa bandar atau luar bandar. "

"Perbandingan bilangan pengundi perlu dibuat mengikut jenis kawasan itu dan perbandingan sama juga antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berdasarkan Perkara 113 (2)(ii) Perlembagaan Persekutuan, persempadanan semula boleh dilakukan selepas tempoh lapan tahun persempadanan kali terakhir tamat dan kali terakhir proses ini berlaku adalah pada tahun 2003 iaitu 10 tahun lalu.

Mengikut fakta, persempadanan semula dilakukan pada 1958, 1974, 1984, 1994 dan 2003 dengan semua persempadanan semula dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun kecuali antara 1958 dan 1974 (16 tahun) dan 1994 hingga 2003 (sembilan tahun).

Menurut Abdul Aziz, pihaknya akan menerima peruntukan daripada Bajet 2014 dan kini dalam proses melantik pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan Perangkaan dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

Katanya, persempadanan semula sepatutnya dilakukan pada tahun 2011, namun SPR tidak berkeupayaan melaksanakannya serentak dengan mengendalikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

"Dari segi pentadbiran, kajian persempadanan semula ini telah dilakukan dan kita akan cuba bentangkan pada persidangan Parlimen tahun depan, kita kena buat secara berhati-hati dan teliti agar tidak dituduh perkara yang bukan-bukan," katanya.

Tegas beliau, keputusan akhir sama ada berlaku atau tidak tambahan kerusi Parlimen dan DUN tetap bergantung kepada sokongan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat dan SPR hanya melaksanakan tanggungjawabnya memberi cadangan.

Katanya, semua pihak tidak perlu terburu-buru membuat spekulasi kerana apabila cadangan persempadanan semula dibentangkan di Parlimen, akan ada tempoh sebulan untuk cadangan tersebut dipamerkan kepada umum.( Utusna online-politik)..Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.bnlogspot.com.at 12.23 am on Disember 27,2013.

No comments: