Saturday, December 21, 2013

Cubaan kali kedua Anwar gagal

Oleh SUWARNI MOKHTAR
 pengarang@utusan.com.my 
Anwar Ibrahim,Muhammad shafe 
PUTRAJAYA 20 Dis. - Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan kali kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat melibatkan Ketua Pembangkang itu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Aziah Ali sebulat suara memutuskan, permohonan yang difailkan tersebut langsung tidak mempunyai sebarang merit dan hanya bersandarkan kepada akuan berkanun (SD) bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim yang bersifat dengar cakap (hearsay).

Hakim tersebut turut menyatakan, akuan berkanun terbabit juga merupakan satu perkara yang remeh dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan rayuan kes liwat membabitkan Anwar dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan. “

Permohonan untuk menggugurkan sama ada pihak pendakwaan atau peguam merupakan satu tindakan drastik tidak sewajarnya dibenarkan sama sekali melainkan disokong oleh bukti kukuh. “SD Mat Zain yang digunakan oleh pemohon (Anwar) bagi menyokong permohonannya merupakan satu dengar cakap dan tidak boleh diterima pakai sebagai bukti jelas dan sahih. “

Dalam menentukan sama ada SD itu boleh diterima pakai atau sebaliknya, kami mendapati dakwaan-dakwaan yang dibuat di dalam SD tersebut tidak mempunyai kaitan dengan kes ini sebaliknya hanya merujuk kepada insiden mata lebam,’’ katanya.

Hakim Aziah yang bersidang bersama Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh turut menyatakan, terdapat kecacatan tersembunyi di dalam akuan berkanun terbabit iaitu percanggahan identiti pembuat SD tersebut iaitu nombor kad pengenalan dan alamat telah dipadamkan.

“Tiada alasan yang dapat difikirkan kenapa Mat Zain enggan mendedahkan nombor kad pengenalan dan alamatnya sedangkan di dalam kes saman membabitkan dirinya dan Anwar di Mahkamah Tinggi Shah Alam kedua-dua maklumat tersebut didedahkan,’’ kata hakim itu.

Hakim itu ketika membaca penghakimannya memberitahu bahawa, mahkamah berpendapat, pelantikan Muhammad Shafee tidak akan memprejudiskan hak Anwar untuk perbicaraan yang adil kerana rayuan dibuat berdasarkan rekod yang disediakan oleh mahkamah sendiri.


Hakim Aziah menambah tiada sebarang sebab untuk mahkamah menyembunyi bukti atau rekod. Beliau turut menyatakan, Muhammad Shafee bukanlah satu-satunya individu yang akan mewakili pendakwaan dalam kes rayuan terbabit tetapi akan dibantu oleh dua orang Timbalan Pendakwa Raya Kanan iaitu Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria dan Noorin Badaruddin. “

Sudah termaktub, pendakwaan dan peguam bela membantu mahkamah dalam membuat keputusan bagi sesuatu kes. Keputusan muktamad akan ditentukan oleh mahkamah sendiri,’’ katanya.

Selain itu, Hakim Aziah turut menyatakan Anwar sepatutnya membangkitkan bantahan-bantahan berhubung pelantikan tersebut pada peringkat awal lagi dan bukannya menimbulkannya secara ansuran.

“Oleh itu, kami tidak mempunyai sebarang keputusan lain selain daripada memutuskan, pelantikan Muhammad Shafee adalah berlandaskan undang-undang,’’ ujarnya.

Selepas tamat prosiding terbabit, Anwar ketika ditemui pemberita memaklumkan, beliau telah mengarahkan barisan peguamnya untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan itu ke Mahkamah Persekutuan pada Isnin depan selepas memperoleh penghakiman penuh Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, semalam, mahkamah sama telah menetapkan 12 dan 13 Februari tahun depan bagi mendengar rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari.

Pendakwa raya tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu daripada tuduhan liwat.

Anwar, 66, didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.( Utusan online-Mahkamah).Posted by ab nmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1323 hrs on Disember 22,2013.

No comments: