Friday, December 27, 2013

Hina Islam : Tokong Cina guna surah Yasin,ayat al-Quran

Tokong Cina di Jalan Demak, Pending yang didakwa menghina agama Islam. 

KUCHING 27 Dis. - Sekali lagi perbuatan menghina kesucian agama Islam berlaku di negara ini dan kali ini perbuatan tersebut dilihat semakin melampau.

Pertubuhan Peradaban dan Warisan Melayu (Adab) Sarawak hari ini membuat laporan polis mengenai tindakan pengendali sebuah tokong Cina berhampiran Jambatan Barrage, Jalan Demak, Pending di sini yang didakwa menghina agama Islam.

Wakil Adab Sarawak, Shariff Busrah berkata, laporan polis itu dibuat kerana tindakan pengendali rumah ibadat itu menghina agama Islam dengan menggunakan surah Yasin, al-Quran, sejadah dan beberapa barang berkaitan Islam dalam upacara penyembahan.

“Pada 22 Oktober lalu kira-kira pukul 11 pagi, saya dan 10 ahli Adab Sarawak ke tokong Cina itu dan kami mendapati pihak pengendali rumah ibadat itu memasang bacaan surah Yasin daripada cakera padat. “

Dalam masa yang sama, pengendali tokong Cina itu turut meletakkan al-Quran, sejadah dan songkok Melayu dalam aktiviti penyembahan di rumah ibadat tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shariff berkata, pihaknya difahamkan pengendali tokong Cina itu menjalankan operasi sejak Mei lalu dan mereka mendakwa rumah ibadat itu adalah ‘tokong Islam patung tujuh beradik’.

Shariff Busrah menunjukkan laporan polis berhubung tindakan pengendali sebuah tokong Cina menghina agama Islam di Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, Sarawak, semalam. 
Beliau berkata, pihaknya telah memaklumkan kejadian tersebut kepada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Mufti Negeri supaya mengambil tindakan sewajarnya.

“Bagaimanapun sehingga hari ini tokong itu masih melakukan aktiviti seperti biasa dan kekal menggunakan barang-barang berkaitan agama Islam.

“Sehubungan itu kami membuat laporan polis bagi menggesa supaya perbuatan pengendali tokong ini dihentikan dengan segera atau serta-merta kerana perbuatan itu seolah-olah mempersendakan kesucian agama Islam," katanya.

Dalam masa yang sama, Shariff turut mendesak Kementerian Dalam Negeri bertindak tegas dalam menangani perkara tersebut bagi mengelak tercetus kemarahan dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Amihizam Abdul Shukor mengesahkan pihaknya menerima laporan polis tersebut dan menyerahkan kes ini kepada JAIS untuk tindakan lanjut. 

Usaha Utusan Malaysia menghubungi Ketua Penguat Kuasa JAIS, Ahmad Sukarno bagaimanapun gagal apabila kakitangan di jabatan itu memaklumkan beliau sedang bercuti.(Utusan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com. at 10.17 am On Disember 28,2013.

No comments: