Thursday, December 12, 2013

Ngo buat laporan polis terhadap Presiden Pas

KOTA BHARU 12 Dis.- Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Minda Pondok Kelantan membuat satu laporan polis terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya yang mengatakan UMNO paling kuat menolak Islam.

Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Binjai di sini kira-kira pukul 10 pagi ini dengan diketuai oleh Pengerusi Biro Bertindak Agama Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff dan turut dihadiri oleh kira-kira 30 penyokong.

Semasa ditemui, Mohd. Syamsul menyifatkan kenyataan Abdul Hadi bertajuk UMNO paling kuat tentang Islam yang disiarkan dalam akhbar Harakah bertarikh 29 November - 1 Disember 2013 sebagai amat biadab.

Katanya, perkara itu merupakan satu fitnah besar selain mempunyai niat jahat bagi menjatuhkan UMNO untuk mendapatkan kuasa memerintah negara ini.

"Pihak berwajib perlu membuat siasatan ke atas Abdul Hadi kerana dakwaan itu bukan sahaja menggores hati serta perasaan ahli UMNO yang kesemuanya adalah orang Islam tetapi boleh mencetuskan kesan buruk terhadap hubungan sesama saudara seagama," katanya di sini hari ini.

Pada masa yang sama, beliau mendesak Presiden Pas menarik balik kenyataannya bagi mengelak berlakunya perpecahan sesama umat Islam.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Syamsul memberitahu, Minda Pondok menyokong penuh pindaan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO bagi mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan dan mentakrifkan Islam sebagai apa yang menjadi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau turut mencadangkan agar takrifan yang sama dimasukkan dalam Perlembagaan Negara. Langkah tersebut tegas beliau, membawa maksud pengamal fahaman selain Ahli Sunnah Waljamaah tidak diiktiraf di negara ini termasuk fahaman Syiah dan Wahabi.

"Rasulullah SAW bersabda lebih kurang maksudnya, 73 firkah di dalam dunia ini dan hanya satu firkah sahaja diterima Allah iaitu al-Jamaah. Maksud al-Jamaah di sini adalah jamaah yang paling besar dan jamaah yang paling besar itu ialah Ahli Sunnah Waljamaah," katanya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.bogspot.com.at 11.55 am on Disember 13,2013.

No comments: