Friday, December 13, 2013

Sedia berdepan Mat Sabu

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
 mohdasron.mustapha@utusan.com.my

Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR 13 Dis. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak sedikit pun gentar dengan tindakan undang-undang yang mahu diambil oleh Mohamad Sabu berikutan pendedahan beliau dan pengesahan kementerian itu bahawa Timbalan Presiden Pas tersebut cenderung sebagai pengikut Syiah.

Sebaliknya beliau cukup bersemangat untuk bersemuka dengan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu di gelanggang mahkamah kerana yakin peluang tersebut dapat digunakan sepenuhnya untuk mendedahkan lebih banyak bukti penglibatan pemimpin nombor dua Pas itu dengan gerakan Syiah di Malaysia.

"Saya tahu kebenaran mengenai pendedahan ini (Syiah). Mat Sabu juga tahu kebenarannya dan begitu juga dengan pemimpin Pas yang lain. Kita ada bukti dan saya tidak sedikit pun gentar dengan ugutan Mat Sabu mahu menyaman saya serta Kementerian Dalam Negeri. Saya bersedia untuk jumpa Mat Sabu di mahkamah.

"Sebab itu saya harap Mat Sabu tidak termasuk dalam golongan mereka yang bertaqiyyah meskipun memang itu sikap penganut Syiah. Islam hanya Ahli Sunnah Wal Jamaah dan kalau ada sesiapa di luar sana yang tersasar kembalilah ke landasan betul," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Ahmad Zahid dalam ucapan penggulungan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2013 Sabtu lalu mendedahkan, Kementerian Dalam Negeri tahu siapa pemimpin tertinggi Pas yang terlibat dengan gerakan Syiah dan menggesa parti itu menunjukkan komitmen serta keberanian politik untuk menolak individu berkenaan.

Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi mengemukakan 10 maklumat yang didakwa dapat mengaitkan Mat Sabu dengan ajaran Syiah antaranya gesaan Timbalan Presiden Pas itu agar umat Islam di negara ini mencontohi cara kepimpinan Imam Khomeini di Iran.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengulangi pendirian bahawa beliau tidak kisah dicerca, dikutuk atau dicaci pihak tertentu khususnya pemimpin Pas yang tidak senang dengan tindakan tegasnya memerangi gerakan Syiah kerana apa yang penting ialah keselamatan negara dan umat Islam perlu diutamakan.

Menurutnya, tiada guna apabila umat Islam di Malaysia sudah berpecah kepada Sunni dan Syiah sehingga berlaku pembunuhan seperti di Iraq, Pakistan dan beberapa negara Asia Barat lain baru pihak berkuasa hendak bertindak menangani ancaman berkenaan kerana pada ketika itu semuanya sudah terlambat.

"Sebab itu jangan lihat isu Syiah ini dalam konteks politik. Syiah ialah persoalan akidah dan keselamatan. Sebagai umat Islam kita kena mengikut ajaran sebenar iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah tanpa sebarang kompromi. Begitu juga dalam aspek keselamatan kerana kita tidak mahu perpecahan berlaku," katanya.(Utusan online-dalam negeri).Posted  by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 8.34 am on Disember 14,2013.

No comments: