Sunday, March 30, 2014

Pengundi Melayu perlukan 68%

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA 
mohdasron.mustapha@utusan.com.my 

KUALA LUMPUR 30 Mac - Sokongan orang Melayu akan terus menjadi teras atau kunci utama kesinambungan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) tanpa menidakkan kepentingan sokongan kaum-kaum lain terutama pengundi Cina.
Datuk Ahmad Maslan,
Ketrua Penerangan Umno Malaysia

Sehubungan itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, adalah penting untuk mendaftar semua pengundi Melayu yang layak kerana pada masa ini cuma 60 peratus yang berdaftar walaupun orang Melayu membentuk 68 peratus daripada penduduk negara ini.

Katanya, daftar pengundi Cina pada masa ini pula lebih tinggi iaitu 32 peratus walaupun mereka merupakan 24.7 peratus daripada keseluruhan penduduk.

"Baki lapan peratus yang sepatutnya diisi orang Melayu itu telah beralih kepada kaum Cina kerana sebaik sahaja layak mengundi pada umur 21 tahun, mereka terus daftar," katanya ketika berucap dalam Majlis Penutup Konvensyen UMNO Bahagian Batu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad menambah, UMNO juga perlu mengambil tanggungjawab menyatukan seluruh orang Melayu terutama golongan yang berada di atas pagar agar mereka menyokong kerajaan tetapi langkah tersebut perlu dimulakan dari dalam parti terlebih dahulu.

Jelasnya, walaupun perkara itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan berikutan orang Melayu kini sudah berpecah kepada beberapa parti, UMNO tidak boleh berputus asa kerana keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah memberi pengajaran cukup berguna.

"Orang Melayu dan bumiputera selaku kaum majoriti juga mesti terus dibantu terutamanya dari segi bantuan modal perniagaan dan pendidikan kerana kita masih ketinggalan dalam banyak aspek berbanding kaum lain. Tanggungjawab ini perlu berterusan dan jangan bermusim," katanya.

Menyentuh mengenai usaha menawan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini menjadi milik pembangkang, beliau berkata, BN perlu menjaga kubu sendiri terlebih dahulu sebelum merampas satu persatu kerusi di bawah pembangkang.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, keyakinan untuk menawan kerusi pembangkang adalah tinggi kerana sokongan pengundi terhadap BN meningkat dalam empat pilihan raya kecil di Sungai Limau, Kedah; Kuala Besut, Terengganu; Kajang, Selangor dan Balingian, Sarawak.

"Kuala Besut dan Balingian kita menang dengan majoriti lebih besar. Di Sungai Limau dan Kajang walaupun kalah, BN berjaya menurunkan undi majoriti pembangkang manakala undi kita meningkat, menunjukkan sokongan rakyat bertambah hanya dalam beberapa bulan sahaja," ujarnya.(Utusan online-Politik).Posted by ab nmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com,at 8.26 am on March 31,2014.

No comments: