Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 17 Julai - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad diminta berhenti bersikap 'tunjuk pandai' dalam soal agama kerana rakyat tahu kelayakan beliau untuk bercakap soal Islam.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, disebabkan kelayakan itulah setiap kali Khalid bercakap soal agama pasti kenyataannya menimbulkan pelbagai kontroversi.
"Khalid cukuplah. Kita pun tahu siapa dia dalam bidang agama," katanya mengulas kebiadapan wakil rakyat Pas itu sehingga mengundang kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ini berikutan tindakan Khalid yang mahu kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dihapuskan walaupun menyedari Sultan Sharafuddin adalah ketua agama Islam negeri Selangor.
Ahli Parlimen itu kemudian dilaporkan akur dengan kemurkaan Sultan Sharafuddin tetapi pada masa yang sama berkata, hanya bersedia memohon maaf jika dapat menghadap Sultan Selangor.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menjadi tetamu kepada program bual bicara TV3, Wanita Hari Ini (WHI) menerusi segmen 'Mesej Dari Penjara' di Sri Pentas di sini hari ini.
Mengenai tindakan Khalid meletakkan syarat untuk memohon maaf kepada sultan, beliau berkata, maruah wakil rakyat itu tidak hilang kalau mengakui kesalahan.
"Mempertikai kuasa MAIS ertinya mempertikai tuanku. Saya tidak fikir menjadi sesuatu yang menjatuhkan maruah kalau Khalid memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Sharafuddin," jelasnya.
Ditanya mengenai sikap Pas yang membisu dalam isu berkenaan walaupun pelbagai pihak tampil mendesak tindakan tegas diambil ke atas Khalid, Ahmad Zahid berkata, parti itu seharusnya menyatakan pendirian mereka.
"Saya fikir Pas pun tidak setuju dengan Khalid dan seelok-eloknya parti berkenaan menasihati wakil rakyat mereka itu supaya meminta maaf kepada Sultan Selangor secara terbuka tanpa syarat," katanya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya / Bakar Ningal.blogspot.com. at 5.57 am on July 18,2014.
No comments:
Post a Comment