Thursday, July 17, 2014

Saya tetap MB sehingga 2018

SHAH ALAM 16 Julai - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan dia akan terus menjadi Menteri Besar sehingga penggalnya berakhir pada 2018.
Tan Sri Khalid Ibrahim,Menteri Besar
Selangor dari PKR

Beliau juga menyatakan pendirian tidak akan sesekali tunduk kepada desakan daripada mana-mana pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahukannya meletak jawatan dalam kadar segera.

Kata Abdul Khalid, beliau telah berjanji kepada rakyat negeri ini untuk terus memimpin mereka sebagai Menteri Besar termasuk melaksanakan usaha untuk membantu rakyat.

"Saya fikir saya akan kekal sebagai Menteri Besar sehingga akhir penggal (pentadbiran) ini. Saya telah berjanji kepada rakyat Selangor.

"Apabila saya mengangkat sumpah (sebagai Menteri Besar), saya ambil tanggungjawab. Saya akan menguruskan Selangor untuk pilihan raya umum yang seterusnya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Abdul Khalid ketika ini dilaporkan menjadi mangsa pergolakan dalaman PKR apabila kepimpinan parti itu mendesak beliau meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Desakan itu turut melibatkan penyebaran maklumat palsu menerusi media sosial pada 7 Julai lalu kononnya Abdul Khalid akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar.

Dalam pada itu, Abdul Khalid ketika ditanya sama ada beliau bersedia menerima tekanan atau serangan daripada pihak tertentu yang mungkin tidak berpuas hati dengan keputusannya mempertahankan jawatan Menteri Besar memberitahu, perkara demikian bukanlah baharu kepada dirinya.

"Saya sudah biasa dalam hal-hal begini (serangan atau tekanan politik). Saya akan teruskan usaha saya," ujarnya.(Utusan online-poliik).Posted bya abnmulya  / Bakar Ninggal.blogspot.com. at 1901 hrs on July 17,2014.

No comments: