Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, akta tersebut akan diperkukuhkan dan ditokok tambah bagi memastikan setiap kaum saling menghormati antara satu sama lain.
Menurut beliau, langkah memperkukuhkan akta itu juga adalah isyarat jelas bahawa tidak ada sesiapa yang harus takut dan bimbang jika dia tidak melanggar undang-undang negara.
“Selepas ini dah tak ada amaran. Jangan bagi amaran lagi, Kita tak nak amaran lagi. Kita nak pastikan keamanan dalam negara kita.
“Tak ada siapa yang harus takut kalau dia tidak mengapi-apikan, menghasut orang. Kalau kita ini bukan penghasut, tak ada apa yang kita harus bimbang,’’ tegasnya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2014, di sini hari ini.
Penegasan Najib itu disambut dengan tepukan gemuruh oleh para perwakilan di dalam Dewan Merdeka dan orang ramai di luar dewan yang mengikut ucapan beliau.
Najib berkata, beliau telah meminta pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia membuat siasatan rapi dan menguatkuasakan akta tersebut bagi memboleh­kan mereka yang terlibat didakwa.
Katanya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri sudah memberi jaminan dan Peguam Negara mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan pendakwaan.
“Saya tak boleh arahkan Peguam Negara kerana dalam Perlembagaan, Peguam Negara ada kuasa mutlak, jadi saya minta ketegasan Peguam Negara untuk jalankan pendakwaan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, jaminan tersebut akan membolehkan semua orang berhenti berbalah mengenai perkara tersebut dan memberi fokus untuk memajukan negara.
Beliau menyifatkan perhimpunan kali ini agak lain daripada biasa dan hampir menjadi perhimpunan yang memberi fokus kepada satu isu sahaja iaitu Akta Hasutan.
Sebagai seorang pemimpin yang mendengar denyut nadi rakyat, Perdana Menteri menegaskan, beliau mengikuti perkembangan isu itu, mendengar pendapat dan memilih untuk mengumumkannya dalam Perhimpunan Agung UMNO.
Menurut Najib, beliau boleh memilih untuk mengumumkan keputusan kerajaan di Parlimen, tetapi menyedari ada satu lagi platform iaitu Perhimpunan Agung UMNO kerana mahu semua ahli UMNO tahu bahawa sebagai Presiden parti, beliau bertanggungjawab kepada semua ahli.
“Kalau suara UMNO hendakkan supaya Akta Hasutan ini dikekalkan, maka saya memilih untuk menerima hasrat ahli-ahli UMNO seluruhnya. Tambahan lagi bila saya bincang dengan Timbalan Presiden, dengan pemimpin-pemimpin UMNO, semua kata bahawa itulah pendirian yang sebaik-baiknya. Ini bukan bererti tak berlaku adil kepada orang lain,’’tegasnya.( Utusan online-berita utama/PAU 2014).Posted by abnmulya / Abu Bakar NInggal.blogspot.om at 11.04 am on Nov-30,2014.