Ketika diasak beberapa kali oleh peguam Razlan Hadri Zulkifli, yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pemeriksaan balas, Raime berkata, tidak pernah terlintas langsung untuknya, Anifah dan anggota Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee untuk menerima tawaran itu.
Malah, katanya, Anifah juga telah menunjukkan reaksi marah dan tidak suka ketika beliau (Anifah) ditawarkan oleh seseorang supaya melompat parti semasa perjumpaan di Hilton Kuala Lumpur.
Razlan : Adakah anda, Anifah dan Kiandee ada membuat kenyataan media mengenai tawaran lompat parti itu?
Raime : Tidak ada
Razlan : Adakah anda, Anifah, Kiandee bercadang untuk membuat laporan polis mengenai ada cubaan menyogok untuk melompat parti?
Raime : Tidak ada.
Razlan : Saya cadangkan kepada kamu, disebabkan kamu tidak membuat kenyataan media dan laporan polis, ini bermakna kamu ada mempertimbangkan tawaran melompat parti?
Raime : Tidak pernah terlintas langsung untuk kami pertimbangkan tawaran melompat parti.
Raime berkata demikian ketika memberi keterangan dalam kes saman fitnah RM100 juta oleh Anwar terhadap Anifah berhubung kenyataan menteri itu mengenai Anwar pada satu sidang media di Washington bersama bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton pada Mei 2009.
Ditanya Razlan lagi, sekiranya mereka (Raime, Anifah dan Kiandee) sudah membuat ketetapan untuk tidak menerima tawaran itu mengapa perbincangan mengenai perkara itu masih berlanjutan sehingga ke Macau, China, Raime berkata, itu kerana pada ketika itu ada usaha untuk mempengaruhi mereka melompat parti Barisan Nasional kepada pembangkang.
Razlan : Kenapa perlu ada perjumpaan kali kedua di Macau, jika ada ketetapan hati. Perjumpaan rahsia di Macau ini bagi pertimbangkan untuk lompat parti, setuju?
Raime : Tidak setuju.
Raime, 44, memberitahu bahawa perbincangan mengenai tawaran lompat parti itu pertama kali berlaku di Hotel Le Meridien, Kota Kinabalu, kemudian di Macau dan akhir sekali di Hilton, Kuala Lumpur.
Ketika ditanya Razlan, apa tujuan beliau pergi ke Macau pada 2008, selepas Pilihan Raya Umum ke-12 saksi itu menjawab Anifah mengajaknya pergi ke sana dan dalam fikirannya untuk bermain golf, tetapi setiba di sana mereka tidak bermain golf tetapi berbincang mengenai tawaran melompat parti.
Saksi ketiga defendan itu bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Razlan bahawa sekiranya Anifah membuat keputusan untuk melompat parti beliau akan mengikut tindakan Anifah.
"Anifah adalah ketua saya, saya akan ikut ketua saya," kata Raime.
Raime berkata ketika di Hotel Le Meridien, Anifah ada memberitahunya bahawa tawaran melompat parti itu bukan sahaja kepadanya (Anifah) tetapi kepada semua anggota Parlimen BN di Sabah.
Beliau berkata, semasa di Hotel Le Meridien, Kiandee juga ada memberitahunya beliau mendapat tawaran RM5 juta untuk melompat parti.
Semasa disoal Razlan, ada atau tidak Anwar menyebut Anggota Parlimen Kimanis (Anifah) akan menukar parti, Raime berkata, beliau ada mendengar mengenai perkara itu melalui khabar angin dan daripada 'orang' Anwar.
Terdahulu semasa pemeriksaan utama oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Anifah, Raime berkata, semasa beliau tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang, dari Macau, Anifah menerima panggilan telefon daripada seseorang, dan melihat reaksi Anifah, panggilan itu merupakan panggilan penting.
"Dalam hati saya cakap, ini mesti perkara sama (tawaran lompat parti). Bila Anifah beritahu saya itu panggilan daripada orang sebelah sana (pembangkang). Saya tidak tanya lagi, Anifah hanya beri signal kepada saya," katanya.
Raime berkata, Anifah juga tidak memberitahunya siapa yang membuat panggilan itu dan mengenai perkara apa, tetapi daripada isyarat yang diberikan Anifah, beliau boleh mengagak ia mengenai isu lompat parti.
Saksi itu berkata, selepas itu beliau bersama Anifah dan Kiandee berjumpa di Hotel Hilton dan di sana ada 'seseorang' telah berbual dengan Anifah dan ketika ditanya, Anifah memberitahunya bahawa itu 'orang Anwar'.
"Saya boleh dengar mereka bercakap. Saya dengar ada sesuatu tawaran telah diberikan. Kalau tidak silap saya mengenai wang RM100 juta. Saya percaya tawaran itu untuk kami berpihak ke sebelah sana (pembangkang)," katanya.
Muhammad Shafee : Apa reaksi Anifah pada masa itu?
Raime : Saya nampak dia macam marah dan tidak suka dibuat begitu.
Muhammad Shafee : Kenal siapa orang itu?
Raime : Anifah kata itu orang Anwar. Saya memang tidak kenal orang itu.
Anwar, yang juga Ketua Pembangkang, memfailkan saman pada 27 Mei 2009 dengan mendakwa Anifah memfitnahnya ketika sidang media di Washington pada 16 Mei 2009 semasa lawatan kerja ke negara itu.
Beliau juga mendakwa Anifah telah mencetuskan kebencian dan kemarahan umum terhadapnya, merendahkan tarafnya, menggalakkan dan memulakan penghinaan politik serta mengaburkan kebenaran dan menyebarkan sesuatu yang palsu.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S.Hassan Badjenid bersambung 15 Dis. - BERNAMA( Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal. blogspot. com.at 1o.11 am on Nov-30,2014.