ANGGOTA Barisan Tindakan Islam mengadakan tunjuk perasaan membantah tindakan akhbar Perancis, Charlie Hebdo menyiarkan kartun menghina Nabi Muhammad di Amman, Jordan pada 16 Januari lalu. – REUTERS
JEDDAH 20 Jan. – Satu kempen memulaukan produk Perancis giat dijalankan oleh pengguna laman sosial Arab Saudi dan Jordan sebagai tindakan membalas provokasi yang dilakukan oleh akhbar mingguan, Charlie Hebdo yang menyiarkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad.
Portal berita Arab News melaporkan, kempen itu dilancarkan melalui slogan ‘Boikot Perancis’ dan telah mempunyai lebih 4,000 pengikut di laman sosial Facebokk sejak dibuka beberapa hari lalu.
Beberapa laman web di Arab Saudi turut menyiarkan senarai barangan buatan Perancis termasuk minyak wangi dan makanan yang dijual di pasaran tempatan, bagi memperingati orang ramai dan rakyat asing menyertai kempen boikot tersebut.
Satu daripada mesej yang disampaikan melalui laman media sosial menyebut, kempen memulaukan produk Perancis dan menjatuhkan ekonomi negara itu perlu dilakukan kerana mereka (Charlie Hebdo) mengabaikan perasaan orang Islam dan menyiarkan kartun kontroversi.
“Kempen boikot merupakan jalan terbaik bagi mempertahankan Islam dan Nabi Muhammad,” jelas mesej itu.
Sementara itu, aktivis Jordan mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap pelaburan Perancis di negara itu termasuk perusahaan stesen minyak dan pasar raya Carrefour.
Dalam perkembangan sama, beberapa syarikat Perancis yang beroperasi di negara-negara Arab mula melantik firma perhubungan awam bagi mengatasi kempen boikot dalam kalangan penduduk Islam.
Seorang pengamal perhubungan awam dengan agensi tempatan, Emad Kareem berkata, syarikat Perancis turut melancarkan kempen bagi memulihkan imej mereka supaya dapat mengurangkan kesan boikot.
“Syarikat terbabit terutamanya di negara-negara Teluk, mengutuk tindakan Charlie Hebdo menghina agama Islam dan menyiarkan kartun tersebut.
“Jika kempen boikot produk Perancis merebak, mereka terpaksa melantik agensi perhubungan awam untuk menangani krisis tersebut,” katanya.(Utusan online-Luar Negara).Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.at 1.13 am on Jan 21-2015.
No comments:
Post a Comment