Bekas peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Zulkifli Noordin berkata, negara kuasa besar tersebut sepatutnya malu de­ngan rekod pencabulan hak asasi mereka sendiri sebelum bertindak mencampuri urusan negara lain.
Katanya, negara Uncle Sam itu tidak layak pun untuk bercakap soal hak asasi Anwar kerana dalam kes di kem Teluk Guantanamo, AS bukan sahaja tidak mempedulikan kepentingan hak asasi manusia, malah turut menyeksa tahanan.
Menurutnya, keputusan menge­kal­kan sabitan penjara lima tahun ke atas Anwar oleh panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, adalah berdasarkan bukti kukuh dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.
“Amerika jangan lupa, Anwar diberi segala keistimewaan perunda­ngan atas sifatnya sebagai Ketua Pembangkang sehingga membolehkan perbicaraan kes liwat ini ditangguh sebanyak 69 kali, satu rekod baharu bagi Malaysia,” kata Zulkifli.
Beliau ditemui dalam majlis pembubaran pertubuhan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) oleh Mursyidul Amnya, Muhammad Zahid Md. Arip, di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini hari ini.
Semalam, seperti dijangka AS mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dengan menyifatkan menimbulkan kebimba­ngan serius terhadap kedaulatan undang-undang dan kebebasan mahkamah.(Utusan online).Posted by abnmulya  / Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 7.48 am on Feb-12,2015.