Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, mana-mana pihak khususnya bukan Islam tidak seharusnya membuat andaian sendiri tanpa memahami hukum agama itu serta maksud sebenar yang disampaikan dalam khutbah Jumaat berkenaan.
Menurutnya, Chong Eng tidak seharusnya mengambil sikap melulu dengan melemparkan kritikan terhadap khutbah JAIS dalam keadaannya yang tidak mempunyai pengetahuan dan kefahaman terhadap Islam.
“Hukum tetap hukum. Sepatutnya dia (Chong Eng) perlu memahami terlebih dahulu hukum Islam atau mendapatkan pandangan daripada pihak lain.
“Mengenai isu aurat wanita ini, perkara itu merupakan hukum Islam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi mengingatkan Chong Eng supaya tidak cuba mempermain-mainkan sentimen agama dengan mempertikaikan khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh JAIS.
Ahmad Yunus yang juga Bendahari Pas negeri berkata, Chong Eng tidak mempunyai hak untuk mencampuri urusan umat Islam.
Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang sebelum ini mengeluarkan kenyataan mengkritik JAIS yang didakwanya menyampaikan maklumat mengelirukan berhubung aurat wanita dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘Aurat: Antara Kebebasan dan Maruah Diri’.
Beliau mendakwa, penekanan JAIS mengenai aurat wanita adalah tidak tepat apabila dilihat ‘menghukum’ golongan tersebut atas kegagalan menutup aurat sehingga menyumbang kepada kes serangan seksual.( Utusan online).Posted by abnmulya / Abu B akar Ninggal.blogspot.com.at 11.59 am on Feb-13,2015.