KUALA LUMPUR 17 Mac – Pas akan tetap meneruskan pembentangan pindaan hukum hudud dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meskipun tanpa persetujuan Majlis Pimpinan Pakatan Pembangkang.
Datuk Dr.Mahfoz Mohamed. |
“Mereka minta untuk dibawa kepada Majlis Pimpinan pakatan tetapi kami bukannya hendak dapatkan persetujuan mereka, walau apa pun, Pas akan tetap meneruskan agar pindaan enakmen ini dibentangkan dalam sidang DUN Kelantan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, pemimpin-pemimpin DAP termasuk Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dan Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo bukan sahaja tidak bersetuju dengan pembentangan enakmen berkenaan malah menuntut Majlis Pakatan Pembangkang mengambil tindakan tegas menghukum Pas atas alasan mencabuli kerangka pakatan.
Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberi ‘amaran’ kepada DAP dan PKR supaya bersetuju dengan langkah Pas untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan jika tidak mahu kerjasama antara pakatan pembangkang terlerai.
Menurut Mahfodz yang juga Ahli Majlis Syura Ulama Pas, DAP dan PKR tidak sewajarnya melenting kerana enakmen berkenaan telah lama diluluskan sejak tahun 1993 dan apa yang bakal dilakukan adalah pindaan terhadap enakmen tersebut.
“Perjuangan menegakkan hukum Islam adalah sebahagian daripada manifesto Pas, maka apabila Pas mendapat mandat daripada rakyat Kelantan, kita perlu melaksanakannya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Zaharudin Muhammad hari ini menempelak Ahli Jawatankuasa Pas Pusat,
Mohamed Hanipa Maidin yang mengkritik dan merendah-rendahkan perjuangan Pas menegakkan hukum hudud.
\
“Kalau Hanipa Maidin hendak berjuang isu-isu ahli politik tak salah, tetapi jangan salahkan orang yang perjuangkan isu rakyat seperti hudud bagi mencegah kecurian, keamanan, hilangkan ketakutan rakyat dan lain-lain.
“Kecuali Pas sudah buat keputusan tidak mahu utamakan isu hudud atau Hanipa sudah bukan ahli Pas atau sudah jadi ahli parti lain untuk tidak lagi memperjuangkan isu dan matlamat perjuangan Pas,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya hari ini.
Mohamed Hanipa yang terpalit kontroversi akibat kritikan ‘ustaz bermasalah’ kepada golongan ulama Pas telah mengeluarkan kenyataan yang membelakangkan pucuk pimpinan Pas semalam apabila meminta sebarang kenyataan mengenai hukum hudud perlu dikeluarkan bersama pakatan pembangkang.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya / Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.0o0am on March 18,2015.
No comments:
Post a Comment