Thursday, July 23, 2015

KPN MALAYSIA TEMUI POLIS THAI

Dapatkan maklumat terkini mengenai Xavier Andre Justo

24 Julai 2015 1:06 AM


KHALID ABU BAKAR (tengah) mengadakan pertemuan dengan Somyot Poompanmuang (kanan) bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai Xavier Andre Justo di Bangkok, semalam. – BERNAMA


BANGKOK 23 Julai - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Poompanmoung di sini hari ini bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai warga Switzerland, Xavier Andre Justo yang dituduh mengugut bekas majikannya, PetroSaudi International.

Pihak berkuasa Thailand bagai­manapun belum memutuskan sa­ma ada akan membenarkan polis Malaysia menyoal siasat Justo, kini dalam tahanan Thailand, atas alasan Malaysia harus menggunakan saluran sewajarnya bagi mendapatkan maklumat diperlukan.

Somyot, selepas pertemuan dengan Khalid, berkata: ‘‘Kami tidak dapat memberi keputusan atau jawapan hari ini, tentang sama ada membenarkan (Polis Malaysia menemu bual Justo) kerana kami perlu tahu sebab dan keperluannya dan sama ada ia berkait dengan kes berkenaan.

“Jika sekalipun kebenaran diberikan, kami perlu juga mempertimbangkan apa yang polis Malaysia boleh dan tidak boleh lakukan oleh kerana Justo bukan warga Malaysia dan tidak melakukan kesalahan di Malaysia,” katanya.

Somyot berkata, polis Thai perlu menyelesaikan siasatannya dahulu dan menambah, Justo berkemungkinan didakwa atas percubaan mengugut.

Khalid ke Bangkok atas lawatan tidak rasmi dan mengadakan pertemuan selama 50 minit dengan rakan sejawatannya itu pada pukul 2 petang.

Somyot berkata, Khalid “tidak mahu menyebabkan polis Thai merasa tidak selesa” dan beliau memahami situasi kerana Justo warga Switzerland, bukan Malaysia.

Lagipun, suspek tidak melakukan sebarang kesalahan di Malaysia. “Jika polis Thai membenarkan polis Malaysia menemui Justo, ini akan dikecam oleh kerajaan Switzerland.

“Pegawai-pegawai Switzerland terlibat dalam kes berkenaan dan telah menghubungi polis Thailand, serta menyediakan seorang peguam dan beberapa bantuan lain kepada Justo,” kata Somyot. – BERNAMA (Utusan online-).Posted by abnmulya / haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 8.38 am on July 24,2015.

No comments: