Monday, July 27, 2015

Penggantungan The Edge keputusan tepat

FITRI AFFENDI MUSTAFA:27 Julai 2015 1:38 AM 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Penggantungan permit penerbitan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial merupakan tindakan yang tepat kerana terdapat kandungan berita akhbar berkenaan menggunakan sumber maklumat tidak sahih yang boleh memberi kesan kepada kestabilan politik dan ekonomi negara. 

Datuk Abdul Rahman Dahlan
Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, langkah itu merupakan pilihan terbaik ketika ini daripada terus membiarkan akhbar berkenaan menerbitkan berita tanpa sumber maklumat tepat yang merupakan satu kesalahan.

Beliau yang juga Menteri Kese­jahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan, The Edge seharusnya menyerahkan sebarang maklumat termasuk daripada dokumen yang dicuri kepada pihak berkuasa bagi proses siasatan dan bukannya bertindak sendiri untuk tujuan politik tertentu.

“Kita tidak boleh sekadar menelan apa sahaja alasan yang diberikan The Edge sekarang. Bagaimana jika The Edge berbohong?

Bagaimana jika data yang diperoleh tidak tulen? Bagaimana jika pakar yang mengesahkan data itu tidak bebas atau mempunyai hubungan dengannya dan bagaimana jika rancangan untuk menggulingkan kerajaan seperti yang dinyatakan oleh bekas eksekutif kanan PetroSaudi International Ltd. (PetroSaudi), Xavier Andre Justo dalah benar?

 “Oleh itu, menggantung permit mereka The Edge) buat sementara waktu adalah keputusan yang tepat sementara menunggu siasatan dijalankan,” katanya dalam laman Facebook beliau hari ini. 

Mengulas lanjut, Abdul Rahman menegaskan, siasatan pihak berkuasa terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan terhenti dengan penggantungan permit penerbitan.

Beliau berkata, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerja keras bagi menyiasat perkara tersebut.

Katanya, PAC merupakan peluang terbaik kepada 1MDB untuk mendedahkan kebenaran selepas banyak tuduhan tidak berasas dilemparkan terhadap mereka oleh akhbar The Edge.

“Mengapa tidak pasukan penyia­sat diberikan masa mencukupi dan ruang untuk melakukan kerja mereka. Tidakkah kita ingin mendapatkan kebenaran. Mengapa kita tidak boleh mempercayai siasatan yang dijalankan secara rasmi tetapi mudah percaya kepada laporan The Edge?.

“Malah, buat pertama kali juga, 1MDB akan menjawab segala persoalan yang dilemparkan pengkritik utamanya iaitu Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua secara berdepan termasuk di hadapan ahli PAC yang lain,” jelasnya.(Utusan online).Posted by abnmulya /haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 10.45 am on JULY 28,2015.

No comments: