Tuesday, August 18, 2015

Desak siasat sumber dana Malaysiakini

MOHAMMAD YASIR JAAFAR:19 Ogos 2015 2:27 AM

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Pergerakan Pemuda UM­NO Kedah mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung dan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap portal propembangkang, Malaysiakini yang semakin berani menyiarkan berita separuh benar sehingga mampu menggugat ke­stabilan, perpaduan dan keamanan negara.

Shaiful Hazizy Zainol Abidin
Ketuanya, Datuk Shaiful Ha­zizy Zainol Abidin berkata, KDN juga perlu menjalankan proses audit bagi mengenal pasti secara terperinci sumber dana termasuk individu sebenar di belakang tabir portal berkenaan.

“Kami tertanya-tanya dan musykil berhubung dana yang membiayai portal berkenaan kerana kami mengesyaki mungkin ada unsur-unsur luar yang menanggung operasi portal tersebut. 

“Apa yang dibimbangi, kewujudan Malaysiakini mungkin merupakan sebahagian daripada perancangan besar pihak tertentu dari luar negara yang mahu melihat Malaysia berada dalam ke­adaan tidak stabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tegasnya, peranan yang dimainkan peranan Malaysiakini amat membimbangkan berikutan portal berkenaan amat berpengaruh dalam meracuni pemikiran rakyat khususnya dalam kalangan generasi muda dengan laporan yang diputar belit faktanya. 

“Sekiranya masih tiada sekatan dilakukan terhadap portal tersebut, pemikiran dan minda generasi muda boleh terpesong daripada fakta sebenar.

“Malaysiakini juga dilihat berniat jahat dengan menyiarkan kenyataan daripada individu yang tidak berkredibiliti yang mempunyai agenda tersirat demi mencari publisiti murahan sehingga menggugat kestabilan negara,” katanya.

Tambah beliau, portal berke­naan juga dilihat sering menyiarkan berita berunsur fitnah dan berbaur perkauman yang pada akhirnya hanya akan memberi kesan buruk kepada rakyat berbilang kaum di negara ini.( Utusan online-) Posted by abnmulya / Hj.bakar ninggal.blogspot.com.at 9.23 am on Ogos 19,2015.

No comments: