PUTRAJAYA 3 Ogos - Cadangan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 bukan bertujuan menyekat kebebasan rakyat menggunakan media sosial dan Internet, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Datuk Mohd Salleh Said Keruak |
"Banyak yang mengatakan kerajaan akan menutup Internet, ini tidak akan berlaku kerana ia (internet) adalah antara benda yang sangat diperlukan sekarang misalnya dalam sistem perbankan.
"Keperluan Internet ini selari dengan perkembangan dunia semasa tapi tidak mahu ia disalah guna sehingga merosakkan keharmonian negara yang dibina sejak merdeka," katanya dalam sidang media selepas majlis serah tugas daripada bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sini hari ini.
Salleh yang merupakan bekas Ketua Menteri Sabah dan juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia menggantikan Ahmad Shabery susulan rombakan Kabinet 28 Julai lepas.
Terdahulu, Salleh tiba di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini untuk melapor diri pada 9.30 pagi dengan disambut Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad serta para pegawai kanan kementerian.
Menjelas lanjut mengenai cadangan pindaan ke atas kedua-dua akta itu yang dijangka dibentang di Dewan Rakyat, Oktober depan, Salleh memberi jaminan bahawa ia dibuat dengan telus tanpa menyembunyikan sebarang perkara. - BERNAMA( Utusan online-).Posted by abnmuly / Hj.Bakar NInggal.blogspot.com.at 1804 hrs on Ogos 03,2015.
No comments:
Post a Comment