Friday, September 25, 2015

PM TERIMA ANUGERH KHAS TELEKOMUNIKASI HARI INI.

26 September 2015 12:13 AM
Datuk Seri Najib Tun Razak
NEW YORK 25 Sept. – Kesatuan Te­lekomunikasi Antarabangsa (ITU) akan memberikan anugerah khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas sumba­ngan beliau kepada usaha mengasah potensi maklumat dan komunikasi untuk pembangunan mapan.

Anifah Aman
Dalam satu taklimat kepada wartawan di sini semalam, Anifah memberitahu, Perdana Menteri juga akan mempengerusikan Mesyu­arat Kelima Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC), sebuah badan khas memajukan bidang sains hasil kerjasama Malaysia dan Amerika Syarikat.

Katanya, GSIAC merupakan satu inisiatif bertujuan melaksanakan agenda transformasi kerajaan melalui peningkatan kapasiti dan keupayaan Malaysia dalam bidang sains dan teknologi. GSIAC yang diterajui oleh saintis-saintis Malaysia dengan kerjasama pakar-pakar Akademi Sains New York (NYAS) juga menyediakan hala tuju strategik untuk pembangunan industri bioteknologi di Malaysia. 

Sepanjang lawatan kerjanya selama lapan hari di New York sempena Perhimpunan Agung PBB, Perdana Menteri juga dijadualkan bertemu dengan tokoh-tokoh korporat dan peneraju industri.

Selain itu, Najib turut dijadualkan bertemu dan berinteraksi dengan rakyat dan pelajar Malaysia di New York.

Anifah berkata, semasa lawatan kerja itu, Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin negara lain untuk bertukar pandangan berhubung isu-isu berkepentingan bersama dan meningkatkan hubu­ngan dua hala.

 Memandangkan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Anifah selaku Menteri Luar juga mempunyai aturcara yang sibuk dalam mesyuarat-mesyu­arat sampingan di ibu pe­ja­bat PBB di sini.

 Anifah akan mempengerusikan beberapa mesyuarat melibatkan Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN yang lazim diadakan sempena Perhimpunan Agung PBB.

Beliau akan mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Tidak Formal Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN, mengetuai Mesyuarat Menteri Luar Negeri ASEAN de­ngan Presiden Perhimpunan Agung Sesi Ke-70 PBB,

Morgens Lykketoft dan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon serta terlibat dalam Mesyuarat Tidak Formal Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dan Amerika Syarikat.

Mesyuarat sampingan lain di peringkat Menteri Luar Negeri termasuklah mesyuarat beberapa OIC Contact Groups, antaranya mengenai Bosnia-Herzegovina, Yemen, Rohingya di Myanmar, Palestin serta Majlis Menteri-Menteri Kumpulan D-8.

D-8 ialah singkatan daripada Developing-8, sebuah organisasi untuk kerjasama pembangunan yang dianggotai oleh Malaysia, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.
Selain itu, Anifah juga terbabit dalam Mesyuarat Menteri Luar Ne­geri Kumpulan 77 dan China, Mesyuarat Menteri Luar Negeri Kumpulan 15, Mesyuarat Menteri Luar Negeri Komanwel dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM).

“Saya juga akan menghadiri Debat Terbuka Majlis Keselamatan PBB pada 30 September mengenai penyelesaian konflik di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara serta pembanterasan ancaman pengganas di rantau tersebut.

“Mesyuarat ini adalah peluang Majlis Keselamatan mengkaji kea­daan dan konflik di rantau berkenaan dan cara-cara yang mungkin boleh diambil untuk menangani ancaman para pengganas dalam konteks tersebut. Mesyuarat akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri Rusia, Sergey Lavrov,” kata beliau.

Majlis Keselamatan PBB kini mempunyai 15 anggota terdiri daripada lima anggota tetap de­ngan kuasa veto (AS, Rusia, China, United Kingdom dan Perancis) dan 10 anggota tidak tetap yang dipilih melalui pengundian.

Selain Malaysia, antara negara anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB ialah Angola,  Chad, Chile, Jordan, Lithuania, New Zealand, Nigeria, Sepanyol dan Venezuela.( Utusan online-)Posted by abnmuya / hj.bakar ninggal.bnlogspot.com at 3.40 am on September 26,2015.

No comments: