KUALA LUMPUR 18 Dis. – Pelbagai pihak terutama dalam kalangan tokoh agama di negara ini mahu pucuk pimpinan UMNO dan Pas berusaha untuk bersatu semula demi perpaduan orang Melayu.
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, sebagai mufti yang tidak mempunyai kepentingan dalam mana-mana parti politik, beliau amat menyokong jika kedua-dua parti itu saling bekerjasama bagi mewakili kaum Melayu di negara ini.
“Walaupun ada kalangan ahli yang tidak yakin malah menganggap kerjasama tersebut mustahil kerana terdapat mudarat kepada kepentingan parti masing-masing, kita mesti berpegang pada prinsip, jika terdapat dua atau lebih mudarat kita mesti ambil yang kurang mudaratnya.
“Ini kerana perpecahan dalam kalangan umat Melayu dan Islam adalah lebih teruk mudaratnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menjadi ahli Forum ‘Adab Iktilaf Demi Memelihara Perpaduan Ummah’ pada hari terakhir Multaqa Serantau Alumni Al Azhar Malaysia 2015 anjuran Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WAAG) di sini, hari ini.
Sheikh Muhamad Baderudin berkata, umpama sebuah rumahtangga, negara ini tidak akan rukun dan damai jika ada antara ahli keluarganya yang bergaduh.
“Sudahlah kita tinggal dalam masyarakat yang majmuk, antara sesama Melayu dan Islam ini janganlah dipisah-pisahkan hanya kerana berbeza fahaman politik. Boleh berpolitik tetapi sama-sama untuk memajukan ummah kerana politik itu bermakna memikul amanah yang berat,” katanya.
Sebelum itu beliau yang mewakili Rektor Universiti Al Azhar Mesir, Prof. Dr. Ibrahim Salah dalam ucapannya berkata, bahawa perjuangan jihad dalam Islam tidak boleh dikaitkan dengan peperangan.
“Jihad itu tidak bermakna bunuh. Islam tidak disebarkan ke seluruh dunia dengan cara membunuh mereka yang bukan Islam. Tetapi hanya bertujuan mempertahankan Islam daripada menjadi mangsa kezaliman.
“Maka anak muda-muda Islam hari ini perlu bijak dan rasional dalam memilih untuk berjuang di medan jihad kerana dikhuatiri mereka akan berakhir dengan membunuh mangsa-mangsa yang tidak berdosa,” katanya.
Dalam Islam katanya, tugas jihad adalah seperti pasukan anggota bomba.
“Islam berfungsi bukan sahaja memadamkan kebakaran malah untuk menyelamatkan mangsa. Maka pergerakan kereta bomba itu perlu diberi jalan untuk segera memadamkan kebakaran. Begitu juga dengan Islam. Perlu diberikan jalan untuk Islam berkembang,” katanya.( utusan online).posted by ab nmulya //haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 1400 hrs on Disember 19,2015.
No comments:
Post a Comment