Angkat sumpah jawatan di jangka hari ini
26 Januari 2016 12:56 AM
Tunku Temenggong Kedah merangkap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehudin Sultan Badlishah (kanan) dan isteri, Toh Puan Temenggong, Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff (dua dari kanan) berkenan hadir dalam Istiadat Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Tuanku Sultan Kedah Ke-88 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, semalam. Turut kelihatan, Mukhriz Mahathir (kiri).
ALOR SETAR 25 Jan. - Krisis politik negeri ini dijangka berakhir dengan Kedah bakal menerima Menteri Besar baharu ekoran prosedur pelantikan menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dikatakan giat disusun oleh mereka yang terlibat.
Menurut sumber, Menteri Besar baharu dijangka mengangkat sumpah esok atau lusa berikutan majlis itu sedang giat dirancang.
Katanya, setakat ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah masih dikatakan sebagai calon utama menggantikan Mukhriz.
“Mungkin esok atau lusa majlis angkat sumpah jawatan tersebut akan diadakan. Semua kakitangan yang terlibat dengan majlis tersebut juga diarahkan untuk bersiap-sedia.
“Kami hanya menunggu arahan selanjutnya daripada pihak atasan mengenai majlis tersebut. Setakat ini juga hampir 90 peratus Ahmad Bashah adalah calon Menteri Besar baharu,” katanya di sini hari ini.
Menurut sumber itu lagi, sejak semalam beberapa exco yang dikatakan menyokong Mukhriz juga dilihat mengosongkan pejabat masing-masing di Wisma Darul Aman.
“Exco tersebut walaupun dikatakan akan dilantik semula sebagai exco selepas pelantikan Menteri Besar kelak namun bersedia untuk mengosongkan pejabat mereka.
“Walaupun bersedih namun difahamkan mereka tetap akan menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas ini,” ujarnya.
Difahamkan Mukhriz dan dua Exco yang menyokong beliau mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah di Blok E, Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Mukhriz memasuki pejabat Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah kira-kira pukul 3 petang hari ini bagi memaklumkan kepada pihak istana mengenai situasi terkini politik negeri ini.
“Perjumpaan berkenaan dikatakan berakhir beberapa jam kemudian apabila Mukhriz dilihat keluar dari Wisma Darul Aman pada pukul 7 malam,” katanya.( Utusan online).Posted by abnmulya /./haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 8.53 am on January 26,2016.
No comments:
Post a Comment