Tengku Adnan

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, parti itu telah dan akan terus mendapat maklum balas dari Bahagian-bahagian dan ahli-ahli di peringkat akar umbi mengenai usul persempadanan semula kawasan pi­lihan raya itu.

“Sehu­bungan itu, UMNO juga ingin menyatakan bantahan terhadap hal ter­sebut dan berharap agar pandangan daripada semua pihak diambil kira oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Dalam hal yang sama, UMNO menolak spekulasi dan provokasi pihak tertentu yang mendakwa persempadanan itu sebagai taktik politik untuk memenangkan sesebuah parti pada pilihan raya akan datang,” katanya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dalam kenyataan di sini hari ini.

SPR melaksanakan Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Ne­geri-Negeri Tanah Melayu serta Sabah bermula 15 September lalu.
Setiausaha SPR,

Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut perun­tukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

Menurut Abdul Ghani, SPR akan mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah selama satu bulan iaitu hingga 14 Oktober ini.( Utusan online-politik).Posted by ab nmulya //haji abu bakar ninggal. //haji abu bakar ninggal.blogspot,com. at  2.18 am on September 22,2016.