Friday, January 13, 2017

Abang Johari Ketua Menteri Sarawak Yang Baharu

Angkat sumpah isi kekosongan jawatan berikutan kematian Adenan Satem


KUCHING 13 Jan. - Tanda tanya tentang siapa bakal dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu ekoran kematian Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, terjawab apabila Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengangkat sumpah mengisi kekosongan jawatan itu hari ini.

Timbalan Presiden II, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berusia 66 tahun itu secara rasminya menjadi Ketua Menteri yang keenam selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud pada pukul 4.07 petang di Astana Negeri, Petra Jaya di sini.

Majlis bersejarah itu turut disaksikan oleh barisan menteri Kabinet negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Pelantikan Abang Johari yang juga Timbalan Ketua Menteri sebelum ini, dipilih sebulat suara menerusi mesyuarat Majlis Ter­tinggi PBB yang diadakan di kediaman Abdul Taib di Demak Jaya, Jalan Bako di sini pagi ini.

 Anak bongsu kepada bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak pertama iaitu Allahyarham Tun Abang Openg Abang Sapa’iee itu dipilih mengisi kekosongan jawatan tersebut ekoran kematian Adenan akibat kompilasi jantung di Pusat Jantung,

 Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan dekat sini kelmarin. Pelantikan Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan dan Menteri Perumahan negeri menggantikan Adenan memang sudah dijangka oleh banyak pihak kerana pengalaman luasnya, di samping kedudukannya yang pa­ling kanan dalam Kabinet negeri dan dihormati parti komponen Barisan Nasional (BN) lain di Sarawak.

Malah, beliau bersama Menteri Perindustrian, Perdagangan, Ke­usahawanan dan Pelaburan ne­geri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merupakan dua calon awal yang disebut-sebut sebagai bakal menggantikan Abdul Taib semasa beliau melepaskan jawatan Ketua Menteri tetapi akhirnya Adenan yang dipilih.

Selain Allahyarham bapanya, datuk di sebelah ibunya, Allahyarhamah Dayang Masniah Abang Abdul Rahman iaitu Datuk Patinggi Abdul Gapor merupakan pemimpin yang menentang James Brooke dan dibuang negeri ke Umbai, Melaka pada 1860.

 Abang Johari juga disukai rak­yat dan ia terbukti apabila berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN Satok) pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) dengan majoriti besar 5,045 undi menewaskan calon PKR, Mohd Salleh Shawkatali yang hanya meraih 1,809 undi.( Utusan online).Posted by abnmulya //haji abu bakar ninggal.blogspot.com. at1.58 am on January 14,2017.).

No comments: