Saturday, December 23, 2017

Baitulmuqaddis Bukan Ibu Ngara Israel.


23 Disember ,2017 @ 3.00 am.


NEW YORK 22 Dis. - Lebih 120 buah negara, sema­lam tidak menghiraukan ugu­tan Donald Trump de­ngan mengundi untuk memihak resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang menuntut Presiden Amerika Syarikat (AS) itu supaya menarik balik keputusan beliau mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Di sebalik ugutan Trump yang mengancam untuk memotong ban­tuan kewangan terhadap negara yang memihak resolusi itu, sebanyak 128 negara menyokong resolusi berkenaan yang tidak terikat, sembilan (09)lagi menentang manakala 35 negara memilih untuk berkecuali dengan 21 negara tidak mengundi.

Walaupun keputusan undian itu dilihat mempunyai impak, namun Washington mendapati negara terbabit bersendirian da­lam keputusannya apabila keba­nya­kan sekutu rapat negara ber­­­kenaan dari Barat mahupun negara Arab menyokong resolusi tersebut.

Beberapa negara sekutu AS seperti Mesir, Jordan dan Iraq merupakan penerima utama bantuan ekonomi dan tentera Amerika di sebalik tindakan Washington tidak menyatakan negara mana berdepan pemotongan bantuan tersebut.

Seorang jurucakap Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkan undian itu sebagai kemenangan kepada Palestin ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak pengundian berkenaan.

Antara negara mengundi untuk berkecuali adalah Argentina, Australia, Kanada, Colombia, Republik Czech, Hungary, Mexico, Filipina, Poland, Rwanda, Sudan Selatan dan Uganda. Guatemala, Honduras, Kepulauan Marshall, Micronesia, Nau­ru, Palau dan Togo menyertai AS dan Israel dengan tidak menyokong resolusi tersebut.

Keputusan resolusi semalam mengesahkan bahawa sebarang keputusan dan tindakan yang mahu mengubah karakter, status atau kedudukan demografik Baitulmuqaddis tidak mempu­nyai kesan perundangan, tidak sah dan terbatal.

 Awal bulan ini, Trump me­ngubah dasar AS sejak berdekad lalu dengan mengumumkan AS mengiktiraf Baitulmuqaddis yang merupakan tanah suci bagi pe­nganut Islam, Kristian dan Yahudi sebagai ibu negara Israel dan akan memindahkan kedutaannya di situ.

Duta AS ke PBB, Nikki Haley se­belum pengundian itu berkata, Amerika Syarikat akan mengi­ngati hari ini yang mana negara itu ‘diserang’ di Perhimpunan Agung PBB kerana mengamalkan hak mereka sebagai sebuah negara berdaulat.

Selepas pengundian itu, Haley meminta 64 negara yang me­ngundi untuk tidak, berke­cuali atau tidak membuang undi supaya menghadiri satu resepsi penghargaan terima kasih kerana bersahabat dengan Amerika pada 3 Januari ini.

Status Baitulmuqaddis menjadi penghalang utama kepada perjanjian damai antara Israel dan Palestin ketika masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf kedaulatan penuh Israel ke atas seluruh bandar tersebut.

Duta Perancis ke PBB, Francois Delattre dalam satu kenyataan berkata, resolusi yang diluluskan itu hanya mengesahkan akan peruntukan undang-undang antarabangsa dalam isu Baitulmuqaddis.

Israel menawan Baitulmuqaddis Timur semasa perang 1967 dan Palestin mahukan bandar itu sebagai ibu ne­ga­ra Palestin. – AFP. ( Utusan online).Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com. at 22.04 hrs on Disember 23,2017.

No comments: