Sunday, December 31, 2017

HANYA MAHU JATUHKAN NAJIB

MAHATHIR MOHAMAD bersama Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir (tiga dari kanan) dan barisan kepimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia menjulang tangan dalam Perhimpunan Agung Tahunan pertama parti itu di Shah Alam, Selangor, semalam. UTUSAN/SAHARUDDIN ABDULLAH.


Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan 
SITI ROHAIZAH ZAINAL pengarang@utusan.com.my 
DISEMBER 31,2017 @ 3.00 AM.

SHAH ALAM 30 Dis. Kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ternyata hanya berpaksikan dendam politik semata-mata apabila Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamed hari ini meng­akui secara terbuka parti itu ditubuhkan hanya satu tujuan iaitu menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengakuan itu sekali gus membangkitkan persoalan sejauh mana keikhlasannya dan PPBM yang kononnya mahu membawa Malaysia ke arah lebih baik, sedangkan parti tersebut la­hir atas sifat kebencian kepada Najib serta tidak membawa satu gagasan nasionalisme seperti dibuktikan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Malah sepanjang hampir sejam ucapannya itu, bekas Perdana Menteri yang memerintah negara selama 22 tahun tersebut menyebut nama Najib sebanyak 38 kali, sejak dari awal sehingga akhir ucapan dan memberi segala gambaran buruk terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, sekali gus membayangkan dendam kesumat politiknya yang teramat tebal.

“Saya ingin mengulangi, parti PPBM ini ditubuhkan hanya untuk satu tujuan sahaja... untuk mencapai matlamat supaya dijatuhkan kerajaan kleptokrasi pimpinan Najib Tun Razak dan mendirikan kerajaan demokratik yang akan memberi kebahagiaan hidup kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam Perhimpunan Agung PPBM di sini hari ini.

Ironinya, bagi Dr. Mahathir, beliau menganggap perjuangannya yang berteraskan dendam itu sebagai mulia dengan menafikan PPBM ditubuhkan demi kepentingan Pengerusi, Presiden atau kepe­mim­pinan tertinggi dan seperti biasa, rakyat dijadikan modal ko­nonnya PPBM parti rakyat serta demi memenuhi kehendak rakyat.

Dr. Mahathir yang dikaitkan dengan penahanan 2,000 orang sepanjang pentadbirannya, yang mana 106 melibatkan aktivis masyarakat, pe­mimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli politik, intelektual serta pemimpin pelajar ketika Ops Lalang mahu menghapuskan kerajaan BN yang disifatkan sebagai kuku besi.

“Kebebasan bersuara oleh individu dan media akan kita kembalikan,” janjinya. Beliau juga berjanji memulihkan keadaan ekonomi negara sekiranya Pakatan Harapan memerintah dengan menghalang perilaku rasuah, tetapi hasrat itu dilihat tidak selari dengan isu kekayaan luar biasa dimiliki anak-anaknya yang sehingga kini gagal dijawab secara jelas.

Dr.Mahathir juga menuduh mereka yang meninggalkan PPBM sebagai 'sampah' dan penyokong Najib. “Mereka ini bukan pejuang yang berjuang untuk menjatuhkan Najib.Sebenarnya secara langsung dan tidak langsung mereka menjadi penyokong Najib.

Perjuangan mereka sebenarnya ialah untuk mengekalkan pemerintahan penyangak dan pencuri yang memalukan bangsa an negara kita. Saya biasa berkata mereka adalah sampah. Saya tidak minta maaf. Mereka lebih buruk daripada musuh kita iaitu Najib,’’ katanya.( Utusan online).Posted by abnmulya // hajai abu bakar ninggal.blogspot.com. at 1642 hrs on  Disember 31,2017.

No comments: