Thursday, December 28, 2017

TOLAK TAMBAK LAUT P.PINANG.

Wan Junaidi ikrar gunakan segala ruang yang ada walaupun kuasa terbatas 

Mohd. Khuzairi Ismail 
28 Disember 2017 3:00 AM 


PULAU PINANG 27 Dis. - Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menggesa Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) menolak cada­ngan Kerajaan DAP Pulau Pinang menambak laut di Permatang Damar Laut di sini bagi membentuk tiga buah pulau buatan.

Malah Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi jaminan akan menggunakan segala ruang untuk menolak projek itu mengambil kira keterbatasan kuasa yang dimiliki kementeriannya yang memungkinkan projek berkenaan diteruskan.
Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Kata beliau, penolakan dan bantahan keras itu mengambil kira impak buruk yang terlalu besar sekiranya cadangan tambak laut seluas 1,800 hektar tersebut dilaksanakan. Dalam masa sama, beliau menegaskan pihaknya sehingga kini juga belum menerima apa-apa laporan teknikal berhubung cadangan tambak laut itu sama ada kajian dari sudut perikanan, sosioekonomi atau politik kesan daripada pelaksanaan projek berkenaan.

Tambahnya, cadangan tambak laut itu juga melibatkan isu wilayah dan persempadanan laut negara dengan sempadan baharu perlu dibentuk berdasarkan jarak tiga batu nautika dari daratan sesebuah negara. “Persoalannya adakah Indonesia boleh menerima persempadanan laut yang baharu ini dan perkara ini akan turut melibatkan perundangan antarabangsa,” katanya yang menghadiri majlis jamuan bersama rakyat di Permatang Damar Laut, Teluk Kumbar di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya. Dalam pada itu, Wan Junaidi turut mengingatkan Kerajaan DAP Pulau Pinang supaya tidak menggunakan kuasa yang ada di bawah kerajaan negeri untuk melaksana sesuatu projek tanpa mengambil kira pandangan agensi kerajaan Pusat.

Kata beliau, projek tambak laut tidak wajar diteruskan tanpa mengambil kira kesan kajian impak alam sekitar (EIA) serta kesannya terhadap kumpulan nelayan yang menjalani kehidupan itu secara tradisi di kawasan berkenaan.

“Kerajaan DAP Pulau Pinang jangan hanya fikirkan keuntungan RM6 bilion daripada pelaksanaan projek ini semata-mata, tetapi dalam masa sama membunuh nelayan di negeri ini.

“Walaupun golongan nelayan ini minoriti dan sumbangan ekonomi mereka kepada kerajaan negeri tidak tinggi, tetapi mereka juga adalah rakyat Pulau Pinang yang berhak mendapat pem­belaan dan perlindungan daripada kerajaan negeri,” katanya.( Utuisan online).Posted by abnmulya  // haji abu bakar ningfgal.blogspot.com. at 1.18 am on Disember 29,2017.

No comments: